GEORGE TOWN – Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) di sini melaporkan kes keracunan vape atau rokok elektronik (e-rokok) terutamanya melibatkan kanak-kanak berumur di bawah lima tahun sejak 2019 telah meningkat dengan ketara.
Pegawai Farmasinya, Sulastri Samsudin berkata, kes yang dikendali pada tahun 2020 adalah hanya 13 tetapi bertambah dengan ketara kepada 21 kes pada tahun 2021.
“Pesakit paling muda yang dilaporkan kepada PRN adalah bayi berusia tiga bulan dan kes yang terlibat majoritinya terdiri pesakit kanak-kanak ini telah terminum cecair isian semula vape yang diletakkan di tempat yang mudah dicapai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Sulastri, bagi tahun 2022, sebanyak tujuh kes pendedahan vape dilaporkan sehingga Ogos lalu melibatkan seorang bayi berusia 10 bulan, kanak-kanak berumur dua dan sembilan tahun termasuk dua remaja berumur 20 serta 23 tahun.
Tambah beliau, sejak kebelakangan ini, PRN turut mengesan semakin banyak panggilan melibatkan kes kanak-kanak kecil seawal setahun cuba menghisap vape generasi terkini dalam bentuk ‘pod’ dan mengandungi nikotin pada kepekatan yang tinggi.
Jelas beliau, antara faktor pendorong kepada kenaikan kes keracunan vape yang membabitkan kanak-kanak kecil adalah keberadaan semua ahli keluarga terutama pengguna vape di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.
“Vape yang ditawarkan dalam bentuk semakin kecil dan menarik, perisanya yang pelbagai dengan formula nikotin serta akses penjualan yang tidak terkawal adalah antara penyebab bilangan kanak-kanak menghisap vape.
“Ini yang menggalakkan mereka (kanak-kanak) menjadi semakin berani untuk menghisap vape. Kita bimbang ia akan berakhir dengan gejala menghisap rokok apabila dewasa nanti,” ujarnya.
Kes terkini pada 21 Ogos lalu membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang menggunakan pod vape pakai buang (disposable) dengan isian cecair ‘nicotine salts’. Pesakit mengalami gejala muntah, pening dan pengsan di rumah.
Sementara itu, Pegawai Sains PRN, Dr. Normaliza Abdul Manaf pula memberitahu, Makmal Toksikologi PRN (PRNLab) pernah menerima 11 sampel cecair daripada KKM susulan daripada penemuan kemungkinan kes Evali dengan melakukan ujian propilena glikol, gliserol, nikotin, vitamin E-asetat dan logam berat ke atas semua sampel tersebut.
“Bagaimanapun, ada sampel yang dianalisa tidak dapat dikesan bahan perisa sebagaimana yang tertera pada label botol dan ada juga bahan perisa dikesan dalam sampel yang tidak sama dengan yang dilabel pada botol,” jelasnya PRNLab diiktiraf KKM sebagai salah satu makmal untuk menjalankan analisa bahan kimia terhadap cecair vape melibatkan kes Evali.