fbpx

PJ City berjaya rosakkan ‘angin’ JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN JDT, Arif Aiman Mohd. Hanapi cuba melepaskan diri daripada beberapa pemain PJ City pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Petaling Jaya kelmarin. – AMIR KHALID

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio kekal positif skuadnya di landasan tepat bagi mempertahankan gelaran Liga Super meskipun seri 2-2 ketika bertemu Petaling Jaya City (PJ City) kelmarin.

Pada aksi di Stadium MBPJ itu, skuad Harimau Selatan mendahului saingan sebanyak dua kali menerusi jaringan Bergson da Silva dan Akhyar Rashid.

Namun, pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan hasil ledakan Darren Lok sebelum Kogileswaran Raj menja­ringkan gol cantik untuk mencuri satu mata berharga pada masa kecederaan.

Kata Bidoglio, keputusan seri sudah tentu tidak bagus selain mengakui barisan pemain boleh membawa pulang tiga mata berharga jika tidak melakukan kesilapan pada hujung perlawanan.

“Kami sepatutnya boleh mendapat tiga mata penuh dan saya tidak puas hati dengan keputusan seri tetapi inilah lumrah bola sepak. Ada beberapa kesilapan individu dan saya harap kita dapat bangkit selepas ini.

“Apa yang pasti, saya kekal positif kerana keputusan se­perti ini seperti sudah dijangka memandangkan pasukan mengharungi jadual padat dengan aksi berturut-turut dalam tempoh singkat.

“Namun, pemain masih lagi tidak kenal penat dan melakukan tekanan ke atas lawan sepanjang 90 minit perlawanan.

“Kini, saya akan memberikan pemain rehat seketika pada jendela antarabangsa sebelum memulakan kembali sesi latihan bersama pemain yang tidak dipanggil dalam skuad kebangsaan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, pengendali PJ City, P. Maniam mengakui keputusan seri yang diraih ke atas JDT boleh dianggap sebagai kemenangan buat pasukannya selepas memberikan 100 peratus di atas padang.

“Pada babak pertama saya akui kami terpaksa beraksi secara bertahan. Namun, ­situasi berbeza pada separuh masa kedua apabila saya arahkan pemain untuk tampil lebih berani dan hasilnya berbaloi kerana kita mencuri satu mata berharga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI