KUALA NERUS – Seramai 135,974 belia dan mahasiswa kelahiran Terengganu dikenalpasti berpeluang untuk menerima manfaat daripada bantuan i-Belia diperkenal kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, individu berumur 18 hingga 39 tahun terbabit bakal menerima bayaran sekali bayar sebanyak RM150 melibatkan peruntukan keseluruhan lebih RM20.3 juta.
“Mereka perlu memohon secara dalam talian bermula 18 September sehingga 7 Oktober depan sebelum melalui proses semakan dan kelulusan.
“Dua kategori ditetapkan bagi bantuan i-Belia ini iaitu belia bujang dan mahasiswa,” katanya di sini hari ini.
Wan Sukairi berkata, bagi kategori belia bujang, permohonan turut dibuka kepada golongan perantau dengan syarat berumur 18 hingga 39 tahun, dilahirkan dan pengundi berdaftar di Terengganu serta bukan kakitangan kerajaan.
Jelas beliau, setiap pemohon juga haruslah memiliki dan mengemaskini maklumat diri dalam sistem Profil Rakyat Terengganu (PRT20) selain memenuhi syarat gaji ditetapkan.
“Pembayaran bantuan i-Belia itu akan dilunaskan tunai secara berperingkat antara 30 Oktober hingga 30 November depan.
“Syarat dan maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman web, http://ibantuan.terengganu.gov.my,” katanya. – KOSMO! ONLINE