BANDAR RAYA NEW YORK – Sehelai jersi yang dipakai oleh legenda bola keranjang, Michael Jordan ketika beraksi pada Permainan 1 pusingan Akhir Liga Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) tahun 1998 dilelong pada harga AS$10.1 juta (RM45.79 juta) kelmarin, lapor akhbar Saudi Gazette.
Jersi berwarna merah pasukan Chicago Bulls itu bernombor 23, yang dipakai Jordan ketika kemenangan terakhirnya.
Firma lelongan, Sotheby’s berkata, ia merupakan lelongan termahal bagi mana-mana memorabilia sukan yang dipakai ketika permainan, sekali gus mencipta rekod bagi jersi bola keranjang yang dijual pada acara lelongan.
Harga yang dilelong itu adalah dua kali ganda daripada nilai asal yang dianggarkan Sotheby’s selain ia turut menerima 20 bidaan.
Jersi milik Jordan tersebut adalah yang kedua dipakai oleh bintang itu semasa enam kejuaraan yang dijual pada lelongan.
Ia juga merupakan memorabilia sukan paling mahal milik pemain berkenaan yang pernah dijual.
Jersi Jordan tersebut mengalahkan rekod yang dicipta pada Mei lalu bagi memorabilia sukan paling mahal yang pernah dijual, iaitu jersi bergelar ‘Hand of God’ milik pemain bola sepak Argentina, Diego Maradona.
Bagi rekod jersi bola keranjang paling mahal sebelum ini adalah jersi yang ditandatangani dan dipakai oleh Kobe Bryant sekitar tahun 1996 hingga 1997.
Memorabilia kejohanan NBA itu dijual pada harga AS$3.7 juta (RM16.7 juta), kata Sotheby’s. – Agensi