PETALING JAYA – Pemuda UMNO mendakwa menerima banyak permintaan daripada orang ramai supaya menyuarakan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Khas (KWSP) secara bersasar.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu disampaikan kepada Pemuda UMNO secara terus kepadanya mahupun melalui komen-komen di media sosial.
“Ramai yang mesej peribadi mahupun komen di status peribadi saya memohon Pemuda UMNO bersuara sebagaimana sebelumnya dalam isu KWSP bersasar.
“Boleh saya tahu benarkah ramai yang menuntutnya dan benar-benar memerlukannya?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Kerajaan pada Mac lalu telah pun membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.
Ia ekoran masih ada rakyat didapati terkesan daripada segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan pasca pandemik Covid-19.
Sebelum itu, kerajaan telah pun membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik melanda negara dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE