JAKARTA – Mahkamah Perlembagaan Indonesia (MK) memberi penjelasan bahawa isu Presiden dua penggal dicalonkan ke jawatan Naib Presiden bagi penggal ketiga tidak pernah berlaku, lapor laman berita Detik kelmarin.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Jabatan Perhubungan Awam MK, kenyataan mengenai kemungkinan Presiden Joko Widodo atau Jokowi dicalonkan sebagai Naib Presiden pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2024) adalah pendapat peribadi jurucakap MK, Fajar Laksono.
“Apa yang dinyatakan oleh Fajar adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi MK atau berkaitan dengan pelaksanaan institusi ini,” tulis siaran media tersebut.
Tambah kenyataan itu, apa yang dikatakan oleh Fajar adalah perbualan di aplikasi WhatsApp bersama wartawan dan bukan kenyataan semasa majlis atau acara rasmi pemerintah.
“Selain bertugas sebagai Ketua Perhubungan Awam dan Kerjasama Dalam Negeri, Fajar juga merupakan seorang pensyarah, maka niatnya adalah untuk mendidik dan jawapan diberi adalah secara umum serta tidak khusus untuk mana-mana individu,” jelas kenyataan itu.
Wakil MK juga memaklumkan bahawa Fajar juga tidak menyedari jawapan diberikan akan dijadikan sebuah berita sehingga menjadi tular dan menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat.
Sebelum ini, Ketua Badan Pemilihan Umum Parti Demokrasi Perjuangan Indonesia (PDI-P), Bambang Wuryanto mengeluarkan kenyataan bahawa Jokowi boleh memohon untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden selepas khidmat selama dua penggal beliau tamat pada 2024.
PDI-P adalah parti politik yang disertai Jokowi sejak 2004 ketika bertanding sebagai Gabenor Kota Jakarta. – Agensi