fbpx

Polis tahan penganjur, pelumba haram kereta mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam kenderaan disita polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perlumbaan haram di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) di Beranang awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Polis menahan lima lelaki disyaki terbabit aktiviti lumba haram melibatkan kenderaan mewah di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) arah selatan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya turut menahan dua lagi lelaki disyaki penganju perlumbaaan haram tersebut di lokasi berkenaan.

“Ops Khas Samseng Jalanan bagi membanteras lumba haram pada pukul 2 pagi itu dijalankan Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang Lekas arah selatan.

“Ketika operasi, pasukan Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman menahan 10 kenderaan dan 10 lelaki yang sedang menonton aksi berbahaya.

“Dua lelaki disyaki menjadi penganjur dan lima lelaki ditahan kerana memandu secara melulu. Enam kenderaan turut disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua yang ditahan berusia 21 hingga 42 tahun dibawa ke Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi lima pemandu kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Dua lelaki yang disyaki menjadi penganjur dan terlibat dalam pertaruhan wang pula disiasat di bawah Seksyen 81(3) akta sama.

“Polis masih menyiasat lanjut bagi mengetahui sama ada terdapat pihak lain yang terlibat. Siasatan dibuat di bawah Seksyen 42(1) dan 81(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI