KEJUTAN berlaku pada hari pertama saingan olahraga Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 apabila pilihan utama, Mohamad Eizlan Md. Dahalan dari Sabah gagal menepati ramalan dalam acara lompat tinggi.
Eizlan terpaksa akur meraih pingat perak selepas hanya melepasi ketinggian 2.06 meter (m) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Situasi tersebut agak mengejutkan kerana ia adalah catatan terendah atlet berusia 23 tahun itu dalam enam kejohanan disertainya sepanjang tahun ini biarpun semuanya berakhir dengan kedudukan podium.
Eizlan menjuarai Terbuka Malaysia 2022 dengan catatan 2.10m diikuti 2.15m di Johor, 2.18m (Sukan SEA Hanoi), 2.10m (Sukan Universiti ASEAN), 2.14m (Sukan Perpaduan Islam) dan 2.11m (Sukan Institusi Pengajian Tinggi).
Eizlan tidak seharusnya kecewa kerana dia tewas kepada rakan sepasukan dari Sabah, Farrell Glenn Felix Jurus yang meraih pingat emas Sukma 2022 dengan catatan 2.10m.
Pingat gangsa pula dimenangi atlet Perak, Kuan Jyh Yunn dengan catatan 2.03m.
“Kami berlatih bersama, jadi saya gembira dapat menewaskan Eizlan. Ini adalah pingat pertama saya,” kata Farrell.
Ia secara tidak langsung memberi bayangan Eizlan dan Farrell mampu menjadi generasi baharu lompat tinggi negara yang selama ini dibayangi kehebatan pemegang rekod kebangsaan, Nauraj Singh Randhawa serta Lee Hup Wei.