PELARI jarak jauh Pahang, Muhammad Ikbolasen Md. Kamal Hussain belum patah semangat meskipun rekod Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dilakukannya bagi acara 10,000 meter (m) lelaki tidak diiktiraf.
Atlet berusia 20 tahun itu berjaya memenangi pingat emas acara tersebut pada hari pertama acara olahraga di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam dengan catatan masa 31 minit 11.62 saat (s).
Ia secara tidak langsung melepasi rekod Sukma yang sebelum ini dipegang oleh A. Munusamy dengan catatan 31:47.95s sewaktu edisi Sukma Pahang 1996.
Begitupun, ia tidak dapat diiktiraf sebagai rekod baharu Sukma disebabkan ketetapan dibuat Majlis Sukan Negara (MSN) memandangkan had umur edisi kali ini dilanjutkan sehingga 23 tahun.
“Saya sentiasa bekerja keras dan tidak berputus asa ketika menjalani latihan. Saya hanya fokus untuk mencatat pencapaian terbaik seperti dilakar hari ini (semalam).
“Sudah tentu saya kecewa (rekod Sukma tidak diiktiraf) tetapi saya anggap ini mungkin bukan rezeki saya. Saya tidak akan berputus asa dan akan terus bersemangat.
“Saya ada lagi dua acara (5,000m dan 3,000m lari berhalangan) selepas ini. Saya akan berikan yang terbaik dengan harapan dapat layak ke Sukan SEA (Kemboja 2023),” katanya.
Pingat perak acara 10,000m lelaki semalam dimenangi S. Dinesh Varma dari Selangor dengan catatan 33:33.69s, manakala gangsa menjadi milik atlet Pulau Pinang, B. Ruveshwaran. (34:13.07s).