PADA dua edisi lalu, Mandy Cebelle Chen dianggap mentah dalam sukan wusyu, namun atlet berusia 19 tahun itu membuktikan dia semakin matang apabila meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Gimnasium 2, MSN, Bukit Jalil semalam.
Pada edisi 2016, Cebelle yang berusia 13 tahun pada Sukma Sarawak gagal meraih sebarang pingat dan hanya meraih pingat gangsa bagi edisi 2018 di Perak.
Namun, kesabaran dalam menjalani latihan membolehkan Cebelle menjelmakan pingat emas pertamanya dalam acara taijiquan wanita dengan memperoleh 9.600 mata.
Menurut Cebelle, kemenangan itu mengubat kekecewaannya selepas dia gagal beraksi dengan baik pada Sukan SEA Hanoi akibat dibelenggu kecederaan.
“Saya bangga kerana banyak halangan saya hadapi sebelum ke sini, sekarang saya berjaya atasinya. Saya anggap sudah berjaya sempurnakan hasrat.
“Sebelum ni saya alami kecederaan buku lali hingga tak dapat beraksi baik pada Sukan SEA. Kecederaan saya adalah pada kaki, sekali gus menyukarkan saya untuk melakukan pendaratan dan kesimbangan yang kemas,” kata atlet Selangor tersebut.
Atlet Wilayah Persekutuan, Kwan Yong Xin (9.556) meraih pingat perak, manakala gangsa menjadi milik atlet Sarawak, Yong Arifah Khairil Kok (9.530).
Sementara itu, bagi kategori lelaki pula, wakil Melaka meneruskan kecemerlangan membolot emas keenam dalam sukan wusyu menerusi Tan Zhi Yan yang meraih 9.650 mata.
Pingat perak dimenangi wakil Sarawak, Mok Xiao Yuan (9.570) dan pingat gangsa dimenangi atlet Negeri Sembilan, Wong Zhi Hong (9.556).