LONDON – Siaran langsung istiadat pengebumian Ratu Elizabeth II pada 19 September ini dijangka memecah rekod tontonan dunia iaitu seramai 4.1 bilion, lapor portal berita MailOnline, semalam.
Ia juga dijangka menjadi siaran langsung yang paling banyak ditonton sepanjang masa.
Liputan langsung acara bersejarah itu akan disiarkan di BBC One, BBC News dan iPlayer sepanjang hari, manakala ITV akan menyiarkan acara itu secara langsung di saluran utamanya.
Pegawai tempatan menjangkakan Westminster Hall akan menerima hampir setengah juta pengunjung untuk melihat keranda mendiang baginda secara peribadi, menjelang pengebumian pada hari Isnin.
Mereka yang tidak dapat melawat London akan mengikuti acara itu menerusi kaca televisyen atau memilih menonton di platform penstriman 24 jam untuk tidak ketinggalan.
Pakar industri mencadangkan sebanyak 4.1 bilion penonton boleh menyaksikan upacara pengebumian itu, sekali gus memecahkan rekod sebelumnya iaitu 3.6 bilion yang dilaporkan menyaksikan petinju terkenal, Muhammad Ali membuka Sukan Olimpik Atlanta pada 1996.
Jika ramalan mereka betul, istiadat pengebumian jasad Ratu Elizabeth II akan mengatasi semua rekod penyiaran lain termasuk konsert Live8 pada 2005, sambutan bunga api Malam Tahun Baru Sydney pada 2010 dan perkahwinan Putera Charles dengan Lady Diana.
“Begitulah cinta dan kekaguman terhadap Ratu Elizabeth II di seluruh dunia sehingga pengebumiannya ditakdirkan untuk menjadi acara siaran langsung televisyen terbesar dalam sejarah,” kata penganalisis televisyen di WatchTVAbroad.com, Carolina Beltramo. – Agensi