LONDON – Bekas pengurus legenda Arsenal, Arsene Wenger percaya The Gunners memiliki peluang cerah dalam mencabar kejuaraan musim ini berdasarkan prestasi cemerlang mereka dalam pasaran perpindahan sebelum ini.
Arsenal ketika ini berjaya menerajui takhta Liga Perdana Inggeris selepas memenangi lima daripada enam perlawanan kecuali tewas ketika berdepan Manchester United sebelum ini.
Skuad kendalian Mikel Arteta itu terlepas peluang untuk menghuni kelompok empat pasukan teratas musim lalu dan gagal mara ke saingan Liga Juara-Juara musim ini yang menjadi kekecewaan terbesar mereka.
Musim panas lalu menyaksikan Arteta dan pengarah teknikal, Edu telah menjalankan tugas dengan baik apabila berjaya mendapatkan beberapa muka baharu yang berkualiti termasuk Gabriel Jesus, Oleksandr Zinchenko, Fabio Vieira, Matt Turner dan Marquinhos.
“Saya boleh katakan bahawa Arsenal ketika ini berada di landasan yang tepat. Secara jujur, saya tidak nampak mana-mana posisi yang lemah dalam pasukan ketika ini.
“Rata-rata pemain masih muda dan mampu menjanjikan sesuatu untuk pasukan. Arsenal berjaya menjalankan urus niaga dengan baik.
“Saya fikir tidak ada pasukan yang benar-benar sempurna musim ini dan Arsenal mempunyai peluang cerah untuk mencabar kejuaraan. Kami pernah berada di kelompok empat teratas sebelum ini, kenapa tidak melakukannya sekali lagi?” jelasnya.
Arsenal gagal memenangi gelaran liga sejak mereka melakukan misi Invincibles pada 2004 ketika masih di bawah kendalian Wenger dan pengurus sensasi itu membuat keputusan meninggalkan Emirates pada 2018. – AGENSI