GENEVA, Switzerland – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus mendedahkan bahawa perjuangan menentang wabak Covid-19 kini semakin hampir ke garisan penamat, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Menurut Tedros, dunia kini berada pada kedudukan terbaik untuk menamatkan ‘peperangan’ dengan Covid-19 dan tidak boleh melonggarkan ‘benteng pertahanan’ dalam apa jua keadaan.
“Laporan kematian akibat Covid-19 pada minggu lepas adalah yang terendah sejak Mac 2020 ketika pandemik berada di kemuncak.
“Kita tidak pernah mencapai kedudukan seperti sekarang. Cahaya di hujung terowong sudah mula kelihatan,” katanya.
Tambah beliau, berita baik ini bagaimanapun tidak bermakna penduduk dunia boleh bersikap sambil lewa dan mengurangkan kawalan kendiri menentang Covid-19, sebaliknya perlu terus mengamalkan amalan tersebut dengan sebaik mungkin.
“Jika pertarungan menentang koronavirus diibaratkan seperti larian maraton, kita sudah boleh melihat garisan penamat. Justeru, kita perlu terus memecut laju supaya boleh menang dan menebus semua kerja keras sepanjang hampir tiga tahun ini,” tegas Tedros.
Dalam masa sama, Tedros mengingatkan orang ramai bahawa masih terdapat risiko akan wujudnya lebih banyak varian, kematian, gangguan dan ketidakpastian bagi mutasi virus tersebut.
“Oleh itu, sementara situasi masih di bawah kawalan, dunia perlu merebut peluang untuk menamatkan pandemik yang bermula sejak penghujung 2019 ini,” ujar beliau.
Sementara itu, WHO mengeluarkan enam taklimat dasar yang menggariskan tindakan utama yang perlu diambil oleh kerajaan dunia untuk menamatkan pandemik itu.
Ia dibuat berdasarkan bukti dan pengalaman selama 32 bulan lalu dan menawarkan panduan tentang cara menyelamatkan nyawa, melindungi sistem kesihatan dan mengelakkan gangguan sosial serta ekonomi.
“Ini adalah seruan mendesak bagi kerajaan seluruh dunia untuk meneliti semula dasar sedia ada mereka dan mengukuhkannya untuk wabak Covid-19 dan patogen yang mungkin muncul pada masa depan dengan potensi pandemik,” kata Tedros.
Buat masa ini, trend menunjukkan penurunan yang stabil dalam kes Covid-19 di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat (AS).
Menurut kemas kini WHO terkini, kiraan kes mingguan menurun di semua rantau dengan pengurangan keseluruhan sebanyak 28 peratus berbanding seminggu sebelumnya.
Kemas kini epidemiologi mingguan WHO pada Rabu menunjukkan terdapat lebih 11,000 kematian dilaporkan antara 5 dan 11 September, penurunan 22 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Secara keseluruhan, terdapat lebih 6.4 juta kematian dilaporkan di seluruh dunia setakat 11 September.
Ramalan yang diterbitkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS menyatakan bahawa kemasukan ke hospital dan kematian baharu akan kekal stabil untuk bulan depan. – Agensi