fbpx

JPJ serbu syarikat Pengendali Perniagaan Pengantaraan tamat tempoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JPJ menyerbu syarikat EHO di Bukit Bintang kerana beroperasi dengan lesen tamat tempoh.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerbu sebuah syarikat Pengendali Perniagaan Pengantaraan (EHO) di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 7 September lalu kerana beroperasi dengan lesen perniagaan pengantara yang telah tamat tempoh.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, siasatan mendapati, syarikat berkenaan mengendalikan aplikasi e-hailing dikenali sebagai InDriver.

Beliau berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (APAD).

“Kami telah menyita beberapa peralatan komputer dan barangan pengiklanan operasi syarikat untuk siasatan lanjut seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 222, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Tindakan itu juga selaras dengan Seksyen 12A APAD 2010, iaitu Syarikat disyaki mengendalikan atau mengadakan perniagaan pengantaraan tanpa lesen pengantara yang sah dan boleh disabitkan hukuman di bawah Seksyen 12A (1)(8).

“Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jikalau didapati bersalah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya akan terus memantau perkhidmatan EHO yang dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan mana-mana syarikat yang mengendalikan perniagaan pengantara tanpa lesen dan kenderaan-kenderaan perkhidmatan e-Hailing yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang di bawah akta sedia ada.

Zailani berkata, beliau ingin menasihatkan kepada mana-mana syarikat yang hendak menjalankan perniagaan pengantara dan pemandu-pemandu kenderaan e-Hailing supaya berdaftar serta dilesenkan di bawah APAD atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

“SelaIn itu, orang awam yang menjadi penumpang perkhidmatan kenderaan e-Hailing ini juga adalah dinasihatkan untuk memastikan aplikasi tersebut adalah berdaftar serta dilesenkan supaya penumpang akan mendapat jaminan perlindungan insurans semasa menggunakan perkhidmatan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI