LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp akui para pemainnya berjaya memastikan misi kebangkitan hadir pada masa yang tepat ketika menundukkan Ajax 2-1 pada aksi kedua Kumpulan A Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Menurutnya, kemenangan berkenaan sangat penting buat The Reds ketika mereka berdepan kritikan hebat ekoran beberapa keputusan perlawanan sebelum ini yang mengecewakan.
“Ia menjadi kemenangan yang cukup penting, tetapi saya fikir cerita perjalanan kami tidak cukup hebat terutamanya dengan situasi dihadapi pasukan ketika ini. Kami menentang pasukan yang kuat, tetapi kami mampu melakukan tugas dengan baik.
“Walaupun kami bolos, saya memang sudah bersedia untuk menyelesaikan masalah ini. Tetapi, pemain tunjukkan tindak balas, walaupun belum begitu sempurna, ia sudah memadai untuk cipta perubahan dalam perlawanan ini.
“Aspek kebangkitan jugalah yang kami cuba lakukan di babak kedua. Kami dapat lihat Ajax banyak melakukan kesilapan,” katanya.
Selepas dihimpit masalah prestasi, The Reds memulakan perlawanan dengan agak baik apabila membuka jaringan menerusi Mohamed Salah, namun ia disamakan oleh Mohammed Kudus.
Sekalipun Ajax dilihat lebih berbahaya, kelab Belanda itu dihimpit kekecewaan kerana membiarkan pertahanan tuan rumah, Joel Matip meledak gol pada penghujung permainan.
“Saya begitu gembira apabila mampu menjaringkan gol bagi membantu pasukan. Apabila jaringan itu terhasil, saya begitu beremosi,” kata Matip. – AGENSI