PASIR SALAK – “Kalau jadi apa-apa pada adik, jaga ibu elok-elok”.
Itu antara kata-kata terakhir Muhammad Rafiq Iskandar, kanak-kanak lelaki 11 tahun yang maut dalam kemalangan jalan raya bersama sepupu lelakinya yang sebaya dengannya, Muhammad Daniel Izwan Shah Ramdura di Parit 7A, Sungai Manik di sini tengah hari kelmarin.
Ibu Muhammad Rafiq, Siti Nurhaliza Md. Rashid, 44, berkata, kata-kata itu diucapkan oleh anaknya itu pada malam sebelum kemalangan.
Katanya, anaknya itu berkata demikian ketika bergurau dengan bapa tirinya.
“Malam sebelum kejadian, anak saya bergurau dengan bapa tirinya, dia cakap boleh tak Rafiq tidur dengan papa, dia memeluk papanya dan kata dia sayangkan bapa tirinya.
“Dia berpesan pada bapa tirinya kalau apa-apa terjadi kepadanya jaga ibu sedangkan sebelum ini dia tak pernah bercakap demikian,
“Saya juga masih ingat semasa saya ke Perlis baru-baru ini, dia beriya-iya menghubungi saya minta belikan seluar, kebetulan saya tak cukup duit lalu saya pinjam duit untuk belikan seluar untuk dia, seluar yang saya beli itulah seluar terakhir yang dia pakai semasa kemalangan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Siti Nurhaliza berkata, anaknya amat rapat dengan sepupunya, Muhammad Daniel Izwan Shah dan mereka sering bersama-sama ke mana sahaja. – KOSMO! ONLINE