PASIR PUTEH – Seorang suri rumah terpaksa menyerahkan semua barang kemas miliknya dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM35,000 selepas diugut seorang lelaki dengan sebilah pisau di rumahnya di Kampung Gong Mengkelih di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Siti Nur Rafeeqa Abdul Hamid, 29, bersama anaknya, Ahmad Qayyim Rezqi Ruzman, 5, didatangi seorang lelaki berbadan kurus yang menceroboh masuk ke dalam rumah melalui tingkap yang diumpil menggunakan cangkul.
Suami mangsa, Ruzman Ishak, 46, berkata, berdasarkan cerita isterinya, suspek hanya memakai seluar jean pendek dan tidak berbaju mengambil pisau di dapur rumahnya sebelum mengugut isterinya yang ketika itu sedang berjalan keluar dari bilik tidur.
Menurutnya, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu mengarahkan isterinya menyerahkan beg tangan yang didalamnya berisi rantai, gelang dan cincin emas bernilai RM15,000 termasuk wang tunai sebanyak RM20,000.
“Suspek turut mengambil sebuah telefon pintar dan meminta kunci motosikal jenis Honda EX5 sebelum keluar dari pintu depan rumah kami.
“Bagaimanapun, motosikal itu ditemui semula di lorong kubur Kampung Chengal Pusas, Jalan Jeram Pasu di sini yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah saya pada pukul 4 petang pada hari yang sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Menurut Ruzman, ketika kejadian berlaku, dia sedang bekerja di Pejabat Pos Pasir Puteh sebelum dimaklumkan mengenai insiden tersebut kira-kira pukul 10.40 pagi.
Sementara itu, Siti Nur Rafeeqa berkata, dia terpaksa menyerahkan beg tangan itu kerana khuatir dicederakan oleh suspek.
“Lelaki itu mengacukan pisau dan bertanyakan tempat beg tangan disimpan. Saya tidak berfikir panjang dan terus mengikut arahannya kerana bimbang keselamatan diri dan anak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
Katanya, siasatan lanjut untuk memburu suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata. – KOSMO! ONLINE