SEREMBAN – Keputusan sama ada akan berlaku rundingan ataupun pertemuan di antara UMNO dan Pas selepas ini termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya akan diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti perlu membuat keputusan tentang rundingan dan kerjasama tersebut termasuk membuat penilaian baik dan buruk mengenainya.
Bagaimanapun, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sekali lagi menegaskan, setakat ini UMNO dan BN telah memutuskan untuk menghadapi PRU15 secara bersendirian.
“UMBO bukan saya, UMNO adalah parti, jadi parti kena buat keputusan, apa sahaja pandangan saya tidak penting, pandangan parti itu penting. Apa juga mahu diputuskan, perlu diputuskan oleh parti, kerana bukan satu dua orang yang buat keputusan dalam parti.
“Ia diputuskan dalam satu musyawarah dan badan tertinggi adalah Majlis Tertinggi, jadi kalau ada agenda dalam mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi UMNO, kami akan bincang, buruk baik, kelebihan-kelebihan ataupun apa juga jika kita nak menilai apa yang disebut oleh Setiausaha Agung Pas tersebut,” katanya.
Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Daerah Seremban berkata demikian selepas ditemui pemberita di Program Merdeka@Komuniti DUN Paroi 2022 di Dataran Senawang di sini hari ini.
Mohamad mengulas kenyataan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini bahawa, parti itu menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan Penyatuan Ummah termasuk UMNO sebagai Rakan Ta’awun dalam membina negara yang baik dan diredai tuhan.
Perkara tersebut menurut Takiyuddin, telah diputuskan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bermesyuarat pada 11 September lalu.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pas akan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan bersama semua rakan-rakan Ta’awun dengan menfokuskan kepada titik-titik persamaan.
Sementara itu, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN menegaskan lagi, keputusan untuk bersama atau tidak bersama dengan mana-mana pihak, BN mesti ketika ini berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi pilihan raya.
“Jentera parti mesti bersiap sedia, tidak pula nanti apabila kami bersama dengan kumpulan itu ini, kami akan relaks tidak buat apa-apa.
“Tugas saya menyiapkan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya, dengan siapa atau tidak dengan siapa, itu keputusan parti. Setakat ini, keputusan parti adalah menghadapi pilihan raya secara sendirian,” katanya. – KOSMO! ONLINE