SHAH ALAM – Rata-rata pengusaha Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) menyambut baik cadangan pemberian moratorium khas yang dianggap mereka sebagai ‘talian hayat’ untuk perniagaan terus ‘bernyawa’.
Seorang peniaga telekung, Yusniza Yusof, 44, berkata, moratorium khas tersebut penting berikutan sektor berkenaan masih dalam proses pemulihan daripada situasi pandemik Covid-19.
“Perniagaan saya merosot 50 peratus selepas pandemik. Lebih dua tahun saya bertahan, sekarang pun masih cuba bertahan dan mahu bangun semula.
“Malah, segala kos naik selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimansuhkan dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga naik berkali-kali yang turut memberi kesan kepada kami.
“Oleh itu, moratorium khas ini penting bagi saya sekarang, sekurang-kurangnya boleh dijadikan pusingan modal,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Seorang peniaga gerai makanan, Yusnida Harun, 54, turut bersetuju pemberian moratorium khas itu yang sangat membantu peniaga sepertinya untuk kembali bangkit.
“Sekurang-kurangnya ada juga modal untuk saya guna, sekarang semua mahal, banyak kos kami kena tanggung.
“Lebih 10 tahun kami berniaga, musim pandemik yang paling terkesan. Sehingga kini pendapatan kami kurang sebanyak 40 peratus, kalau moratorium lega sikit,” ujarnya
Peniaga daging salai, Mohd. Adib Mohd. Sidek, 36, pula menggesa supaya moratorium khas tersebut segera diluluskan.
“Saya harap kerajaan segera meluluskan moratorium khas sekurang-kurang enam bulan. Tempoh ini bagi saya cukup untuk bantu saya dan peniaga lain bangkit semula,” katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaporkan, kerajaan sedia pertimbang cadangan pemberian moratorium khas untuk sektor PMKS.
Sebelumnya, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengusulkan cadangan tersebut berikutan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik Covid-19.