fbpx

Mahkamah: ‘Insya-Allah ini kesalahan pertama dan terakhir saya Yang Arif’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Hazim didenda sebanyak RM1,000 di Mahkamah Majistret Rembau, di sini, hari ini atas kesalahan membuat laporan palsu.

REMBAU – Padah buat seorang penjawat awam apabila didenda sebanyak RM1,000 di Mahkamah Majistret Rembau, di sini, hari ini atas kesalahan membuat laporan palsu.

Tertuduh, Muhammad Hazim Rosli, 29, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Kartini Kasran.

Majistret turut menetapkan penjara dua bulan jika ingkar membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, pada 15 November 2020, kira-kira pukul 9.40 malam bertempat di Balai Polis Chembong, tertuduh telah membuat laporan bertulis yang diketahui sebagai palsu.

Tertuduh telah membuat laporan barang miliknya dicuri di tempat letak kenderaan di hadapan kedai runcit dan mengetahui akan menyebabkan penjawat awam itu menggunakan kuasanya yang sah disisi undang-undang untuk melakukan sesuatu yang sepatutnya tidak dilakukan sekiranya keadaan sebenar dilaporkan.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara selama tempoh enam bulan atau dengan denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan polis telah mendapati keraguan pada laporan polis awal tertuduh dan selepas siasatan, tertuduh mengaku membuat laporan polis palsu.

Dalam laporan palsu berkenaan, tertuduh menyatakan selepas membeli barang, dia mendapati beg dan satu kotak berisi jam tangan jenama G-Shock baru anggaran RM1,300 di dalam kenderaannya telah tiada.

Selain itu, dia menyatakan di dalam begnya juga berisi dokumen penting serta wang tunai telah diambil orang.

Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng memohon Majistret menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan mengambil laporan palsu berkenaan telah membazirkan kos dan sumber kerajaan.

Tertuduh dalam rayuannya meminta untuk mengurangkan denda berikutan menanggung seorang isteri serta anak keduanya juga baharu lahir.

“Ini merupakan kesalahan pertama saya, insya-Allah terakhir,” kata tertuduh.

Majistret bagaimanapun menyatakan sebagai penjawat awam, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.

“Kamu juga penjawat awam, perkara ini tak sepatutnya berlaku. Laporan palsu ke atas pihak polis, kesan dan akibat dia macam mana.

“Malah, macam-macam boleh berlaku, pihak tidak bersalah boleh tertuduh,” katanya sebelum menjatuhkan hukuman denda. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI