PETALING JAYA – Pahit untuk ditelan. Itu hakikat yang terpaksa diterima penyanyi popular Zee Avi selepas disahkan mengalami masalah pendengaran hingga terpaksa bergantung hidup menggunakan alat bantuan pendengaran.
Zee Avi atau nama sebenarnya Izyan Alirahman berkata, alat bantuan pendengaran yang dipakai sejak setahun lalu itu digunakan pada kedua belah telinga dan terpaksa digunakan sehingga 14 jam sehari.
“Kalau orang panggil saya pekak, ya saya kena terima, nak buat macam mana lagi kan.
“Tapi perkataan pekak itu sebenarnya agak sensitif untuk kebanyakan orang sebab kesukaran pendengaran ini ada banyak tahap.
“Apa yang saya alami adalah hilang pendengaran tapi pekak untuk mereka bermasalah sejak lahir. Jadi, saya sebenarnya hilang pendengaran. Bila tak jaga kesihatan pendengaran macam itulah ceritanya,” katanya.
Tambah pelantun lagu hit Kantoi itu lagi, dia bersyukur kerana dengan adanya teknologi canggih pada masa kini, secara tidak langsung dapat membantu dirinya untuk mendengar semula.
“Saya sangat bersyukur disebabkan teknologi alat pendengaran pada masa kini, saya dapat mendengar semula dan sebenarnya tak nampak pun macam saya pakai.
“Buat masa ini, memang saya kena pakai setiap hari pada kedua-dua belah telinga. Sehari memang 13 jam kena pakai, kalau tak pakai, memang rasa makin teruk,” katanya.
Menurutnya, selepas mengalami masalah pendengaran, dirinya mula menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi sekali gus menjejaskan produktivitinya sebagai penghibur.
Pada masa sama, anak kelahiran Bumi Kenyalang itu juga tidak menafikan sokongan moral terutama daripada ahli keluarga dan suami membuatkan dirinya nekad untuk mendapatkan bantuan daripada audiologis di Global Hearing Care Centre (GHCC).
Terdahulu, Zee bercakap kepada wartawan pada Majlis Exclusive Screening Hour With The Stars yang dibawakan oleh Global Hearing Care Malaysia di ibu kota semalam. – KOSMO! ONLINE