KEMAMAN – Sebuah projek pembangunan perumahan bercampur yang mampu milik akan dibina di atas tanah berkeluasan 23.47 hektar di Teluk Kalong di sini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek usahasama dengan syarikat pemaju swasta, Arus Juta Sdn. Bhd. yang menelan kos RM102.7 juta itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.
“Projek ini merangkumi 484 buah rumah teres setingkat mampu milik, 103 unit rumah teres dua tingkat dan 14 unit kedai pejabat.
“Ia tidak hanya memfokuskan kepada perumahan mampu milik tetapi memberi peluang kepada rakyat golongan M40 (pertengahan) dan juga T20 (berpendapatan tinggi) untuk memiliki rumah kediaman sendiri,” katanya di Teluk Kalong di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan majlis pecah tanah projek perumahan bercampur berkenaan.
Ahmad Samsuri berkata, projek perumahan tersebut bakal dilengkapi fasiliti termasuk surau, dewan serbaguna dan taska.
Tambah beliau, kerajaan negeri Terengganu dan syarikat pemaju telah mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan taman perumahan baharu terbabit bebas banjir. – KOSMO! ONLINE