REMBAU – Kemeriahan dan tarikan pelancongan sebuah taman air di Pedas di sini, bertukar menjadi terbiar disebabkan pandemik Covid-19 yang berlaku selama dua tahun.
Penutupan taman air itu menyebabkan kesibukan kawasan sekitar yang dahulunya turut menjana pendapatan kepada penduduk setempat kini bertukar menjadi kawasan semak-samun.
Seorang penduduk yang mahu dikenali Razak berkata, tempat taman tema itu dahulunya meriah dengan orang ramai, kini berubah disebabkan sekatan pandemik selama dua tahun.
“Rasa sedih melihat kawasan yang dahulunya meriah dan turut menjadi tempat anak tempatan mencari rezeki kini penuh semak-samun. Ikutkan, tempat ini dahulu beri peluang kerja kepada 30 orang anak muda tempatan.
“Oleh itu, besar harapan kami agar tempat ini dapat dihidupkan semula dan semua pihak dapat manfaat daripada salah satu tarikan yang terdapat di daerah ini,” katanya ketika ditemui di lokasi taman tema air di Pedas di sini semalam.
Tinjauan Kosmo! di kawasan itu mendapati, semak samun memenuhi ruangan taman tema itu, namun lokasi berkenaan masih terjaga dan dikunci oleh pihak syarikat yang menempatkan pengawal keselamatan di lokasi tersebut.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Rembau (MDR) merangkap Pegawai Daerah, Mohamad Najib Mustafa ketika dihubungi menyatakan, kerajaan negeri kini sedang berbincang dengan pengusaha taman itu untuk mendapat penyelesaian terbaik buat kedua-dua pihak.
Menurutnya, perbincangan tersebut sudah dilaksanakan sejak lebih dua bulan lalu dan menunggu untuk satu keputusan serta persefahaman yang akan diumumkan secara rasmi selepas diputuskan.
“Tempat ini merupakan antara tarikan di daerah ini dan sudah tentu kita akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi menghidupkannya semula melalui perbincangan dengan pengusaha asal tempat itu,” katanya.