fbpx

Universal Music Malaysia, Def Jam dominasi AIM23

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERNIE dan Syamel bersama barisan pemenang trofi AIM23.

PETALING JAYA – Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) mencatatkan sejarah manis buat Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia apabila mengungguli 12 trofi daripada 21 kategori dipertandingkan dalam majlis pengiktirafan yang berlangsung, Ahad lalu.

Paling menyerlah tentu saja kemenangan bergaya dua trofi utama membabitkan Album Terbaik yang dibolot Yonny (Deluxe Edition) daripada Yonnyboii, serta Lagu Terbaik menerusi Goodbye Hello nyanyian Ernie Zakri dan Syamel.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, kemenangan kedua-dua syarikat tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa apatah lagi selepas industri hiburan tanah air ‘lumpuh’ ekoran pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir dua tahun.

“Kita tahu sepanjang pandemik Covid-19 aktiviti seni tidak dapat dilaksanakan seperti sebelumnya. Namun, syarikat rakaman tidak boleh duduk diam, sebaliknya memperkasakan lagi kandungan di platform digital.

“Sepanjang tempoh itu, Universal Music dan Def Jam tetap rancak menghasilkan serta menerbitkan lagu. Biarpun masih berdepan cabaran, namun ia bukan halangan untuk terus berkarya serta menghasilkan produk berkualiti.

“Pihak syarikat juga beri kebebasan kepada penyanyi untuk terus berkarya sekaligus menunjukkan kreativiti.

“Apa pun, kemenangan pada AIM23 bukti kerja keras semua pihak yang turut menjadi pembakar semangat buat Universal Music dan Def Jam menghasilkan lebih banyak karya berkualiti,” katanya

Sementara itu, Pengarah A&R dan Pemasaran Universal Music yang juga Ketua Def Jam, Hermond Cheng berkata, dia berkongsi rasa bangga atas pencapaian syarikat tersebut pada acara ditunggu-tunggu karyawan muzik tempatan itu.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua karyawan muzik yang berjaya membawa pulang kemenangan pada AIM23, terutama daripada Universal Music dan Def Jam.

“Kami cukup berbangga apabila Def Jam turut membawa bawa pulang dua kategori iaitu Album Terbaik Yonny (Deluxe Edition) selain Lagu R&B/Hip Hop Terbaik yang anugerahkan kepada CIAO (Joe Flizzow).

“Walaupun Def Jam boleh dianggap pemain baru dalam pasaran muzik tempatan, kemenangan ini adalah bukti andai kita sentiasa berikan kerja yang berkualiti, hasilnya tentu memberangsangkan.

Dalam masa sama, saya percaya sokongan daripada semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak menjadi antara penyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.

Kemenangan lain yang didominasi kedua-dua syarikat ini adalah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Sinar Mata Hati (Ernie Zakri), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan), Tunggu (V.E.) selain Lagu Pop Terbaik yang juga diraih Goodbye Hello.

Kategori lain adalah Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Artis Luar Negara, Tak Ingin Usai (Keisya Levronka), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Game of Charades (Sophia Zuhri) dan Lagu R&B/Hip Hop Terbaik: CIAO (Joe Flizzow).

Penguasaan juga menyerlah bagi kategori Rakaman Album Terbaik yang diraih Belagu (Dayang Nurfaizah serta dua lagi kemaraan membabitkan penyanyi sama iaitu Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Dalam Lagu Terbaik (Tudung Periuk) selain Lagu Nada Dering Jualan Paling Tinggi, Adakah Ini Mimpi (Reedzwann).

Pada masa sama, kedua-dua syarikat ini turut menzahirkan penghargaan kepada beberapa rakan kerjasama termasuk Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd; DN & AD Entertainment Sdn. Bhd; Cloudworks Entertainment; Kasugi Timur Sdn. Bhd; Wake The Baby dan RUSA Marketing Sdn Bhd.

Terdahulu, penganjuran edisi kali ini penganjur menerima 650 pencalonan yang disenarai pendek menjadi 105 finalis untuk berentap merebut trofi bagi 21 kategori dipertandingkan.

Selepas lima tahun tertangguh, jawatankuasa sepakat membuka penyertaan terhadap karya yang diterbitkan dalam tempoh satu setengah tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.

Diadili 113 juri yang pakar dalam bidang masing-masing dengan diketuai Datuk Mokhzani Ismail, perincian untuk pemilihan karya dan karyawan terbaik dilaksanakan dengan teliti dan telus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI