fbpx

Dua lelaki terpaksa jadi orang suruhan angkara hutang ah long

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Shukri menunjukkan peralatan digunakan suspek yang merupakan orang suruhan ah long siber untuk mengugut dan melakukan khianat ke atas peminjam yang gagal membayar hutang.

ALOR SETAR – Polis memberkas dua lelaki berusia 38 dan 41 tahun dipercayai menjadi orang suruhan sindiket ah long untuk mengugut dan melakukan khianat ke atas peminjam wang yang gagal membayar hutang.

Kedua-dua suspek ditahan ketika dipercayai mahu mengugut mangsa di sekitar Taman Sri Tandop di sini pada pukul 6.30 petang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mereka disyaki melakukan kegiatan itu di sekitar Alor Setar, Kubang Pasu dan Pendang sejak 20 Ogos lalu.

Katanya, pihaknya setakat ini menerima 20 laporan berkaitan kegiatan tersebut.

“Suspek merupakan peminjam kepada ah long siber ini dan tugasan yang dilakukan mereka ini adalah kaedah untuk membayar balik hutang tertunggak.

“Ah long siber menawarkan pekerjaan dengan upah mengikut pakej seperti RM350 untuk baling cat, RM150 (merantai pagar) dan RM50 (menampal notis ugutan),” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini malam semalam.

Katanya, suspek juga hanya berurusan dengan sindiket utama ah long itu melalui aplikasi WhatsApp sahaja selain tidak pernah bersemuka ketika melakukan tugasan itu.

Menurut beliau, polis menemui pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk mengugut dan melakukan khianat ke atas mangsa termasuk cat dan rantai besi.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI