BRISBANE, Australia – Seorang warga emas maut diserang seekor kanggaru yang juga haiwan peliharaannya di wilayah rantau Great Southern, negeri Australia Barat, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Pasukan paramedik tiba di kediaman lelaki itu di Redmond, dekat Albany malam Ahad lalu selepas mangsa yang berusia 77 tahun, ditemui oleh saudaranya dalam keadaan mengalami kecederaan serius.
Polis dipanggil untuk membantu selepas kanggaru itu menjadi agresif dan menghalang anggota paramedik daripada merawat mangsa yang akhirnya mati secara tragis di tempat kejadian.
Lelaki itu dipercayai diserang oleh kanggaru itu beberapa jam sebelum pihak berkuasa tiba.
Polis percaya kanggaru itu adalah haiwan liar berumur kurang daripada 12 bulan yang dipelihara oleh mangsa.
“Kanggaru itu menimbulkan ancaman berterusan kepada petugas kecemasan, manakala anggota polis yang tiba terpaksa membunuh haiwan itu dengan menggunakan senjata api,” kata seorang jurucakap polis.
Perkhidmatan kecemasan masih belum mengeluarkan butiran mengenai kecederaan lelaki itu.
Insiden tersebut merupakan serangan maut kanggaru pertama di Australia dalam tempoh 86 tahun. – Agensi