SAINT PAUL, MINNESOTA – Mogok besar-besaran oleh jururawat hospital swasta di negeri Minnesota dan Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) bermula kelmarin dengan kira-kira 15,000 petugas perubatan itu berpiket bagi menuntut persekitaran kerja lebih baik dan kenaikan gaji.
Menurut laman berita Wion News, mogok itu disifatkan sebagai yang terbesar dalam sejarah AS melibatkan jururawat swasta.
Piket seumpamanya kerap berlaku di AS sejak beberapa tahun lalu, dengan kakitangan mendakwa bahawa mereka kepenatan berikutan waktu bekerja yang panjang semasa pandemik Covid-19 dan dalam masa sama, berdepan krisis kenaikan harga.
Seorang jurucakap Persatuan Jururawat Minnesota (MNA) berkata, mogok tersebut bakal berakhir pagi esok.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan organisasi tersebut di internet, peserta mogok memegang sepanduk tertera kata-kata seperti: “Utamakan pesakit berbanding keuntungan.”
Mereka berkumpul dalam beberapa kumpulan pada awal pagi bagi melakukan protes di luar kira-kira 16 hospital yang terlibat.
Menurut pengurusan hospital swasta negeri, pihaknya merancang untuk terus menyediakan penjagaan kesihatan sebaik mungkin meskipun terdapat gangguan ada operasi.
“Kami mungkin akan melakukan sedikit pelarasan kepada penjagaan dan perkhidmatan bukan kecemasan bagi memastikan kami mempunyai kakitangan yang mencukupi sepanjang tempoh mogok berlangsung.
“Bagaimanapun, kami akan terus menyediakan perkhidmatan menyeluruh,” kata Hospital North Memorial di Minnesota seperti dipetik agensi berita AFP.
MNA dan hospital berkenaan dilaporkan telah berbincang selama lebih lima bulan bagi menyelesaikan isu tersebut, namun gagal mencapai persetujuan.
“Ketika ini di Minnesota, jururawat terbeban dengan kerja yang terlalu banyak, dengan hospital swasta tidak mempunyai kakitangan mencukupi serta pesakit dikenakan bayaran berlebihan,” kata MNA dalam satu kenyataan. – AGENSI