fbpx

PDRM sasar 10 peratus penurunan kes penipuan online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acryl Sani (kiri) beramah mesra dengan Awie (dua kanan) dan Chong Wei (tengah) pada Majlis Pelantikan 104 figura sebagai Duta Anti-Scam JSJK di Maktab PDRM Cheras, di sini hari ini. /FOTO FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menyasarkan sebanyak 10 peratus kes penipuan dalam talian dapat dikurangkan dengan pelantikan 104 Pemimpin Pendapat Utama (KOL) sebagai jurucakap atau duta bagi kempen Anti-Scam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelantikan 104 duta tersebut sebagai usaha PDRM memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung sindiket penipuan yang semakin berleluasa di negara ini.

“Duta tersebut terdiri daripada artis usahawan, agamawan, pegawai polis, pempengaruh (influencer), penggiat seni dan tokoh sukan.

“Antara selebriti popular tersebut adalah Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, Datuk Mohd. Shukri Shahabudin atau Hattan dan Zed Zaidi, manakala tokoh sukan tersohor pula adalah Datuk Wira Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelantikan 104 figura sebagai Duta Anti-Scam JSJK di Maktab PDRM Cheras, di sini hari ini.

Menurutnya, daripada 104 KOL yang dilantik, seramai 76 merupakan lantikan JSJK manakala 28 orang lagi dibawah naungan Multimedia Creative Solution Sdn. Bhd. (MSC) selaku rakan strategik JSJK untuk kempen tersebut.

Jelas beliau, kesemua duta atau figura itu dilantik ekoran mereka mempunyai pengikut yang ramai sekali gus memudahkan mereka mendekati orang awam untuk memberi kesedaran berhubung taktik sindiket penipuan.

Mengulas lanjut, Acryl Sani memberitahu, jenayah penipuan ini sukar untuk dicegah dan dibendung, namun ia boleh dikawal dengan memberi pengetahuan yang secukupnya kepada anggota masyarakat.

“Para duta yang dilantik ini bertanggungjawab menjalankan peranan mereka dengan cara yang tersendiri, mereka tidak terikat dengan sebarang garis panduan, ini bermakna bila-bila masa dan di mana-mana sahaja mereka boleh sampaikan maklumat tepat kepada masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MCS, Datuk Steven Lim Boon Siong berkata, pelantikan MSC sebagai rakan strategik JSJK merupakan satu penghormatan yang besar kepada organisasi itu.

“Justeru itu, MSC akan bekerjasama dengan JSJK untuk menghasilkan mesej kesedaran masyarakat supaya sentiasa berwaspada menerusi akaun media sosial KOL,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI