KETUA jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menyifatkan aksi pasukannya yang bangkit daripada ketinggalan 0-3 sebelum mengikat Pahang 3-3 di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebagai perkara luar biasa.
“Saya tidak boleh minta lebih daripada ini. Pemain memberikan persembahan terbaik mereka,” kata Durakovic.
Perasaan teruja jurulatih itu sangat difahami kerana kebangkitan dramatik The Bos Gaurus pada separuh masa kedua mengikat anak-anak buah Dollah Salleh 3-3 sungguh menakjubkan.
“Saya angkat topi kepada setiap pemain kerana mengutip satu mata di Kuantan. Bukan mudah bangkit daripada ketinggalan tiga gol dan mengutip mata kerana Pahang memang kebal di laman sendiri.
“Apa pun saya tahu kualiti pemain saya. Saya sudah kenal mereka lama. Saya tidak boleh meminta lebih. Mereka sambut baik cabaran yang saya lontar semasa rehat,” katanya.
Begitupun, Durakovic mengakui anak-anak buahnya beraksi di bawah tahap sebenar selepas bermain baik dalam 10 minit pertama. Namun, tiba-tiba pemain hilang fokus dan seolah-olah terlena hingga membolehkan Pahang menguasai separuh pertama serta menyumbat tiga gol,” katanya.
Katanya, kejayaan mengutip satu mata itu menyaksikan Perak berada di landasan tepat bagi menghadapi perlawanan terakhir menentang Kedah.
“Pertembungan dengan Kedah ini cukup besar kerana ia akan menentukan kedudukan naib juara Liga Super,” ujarnya.