KEMENANGAN Selangor ke atas Sabah sebelum ini menyerlahkan gerak kerja proaktif sedang dilakukan oleh Nidzam Jamil untuk mengembalikan semula Gergasi Merah ke tahap prestasi terbaik.
Walaupun terpaksa menunggu hingga perlawanan keempat untuk meraih kemenangan sulung sejak dilantik pengendali sementara, kemenangan itu seakan membayangkan jurulatih muda itu memerlukan lebih banyak masa untuknya membuktikan kualiti.
Sedar harapan tinggi yang diletakkan ke atasnya, Nidzam sentiasa mengingatkan pemainnya supaya kekal dengan mentaliti kemenangan terutamanya pada kunjungan ke Stadium Darul Aman untuk menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) malam ini.
“Bagi saya, komitmen dan kerja keras daripada pemain (ketika aksi menentang Sabah) begitu penting. Penyokong, saya sendiri, pengurusan dan barisan kejurulatihan juga mahu kekalkan momentum ini.
“Dalam bola sepak, emosi (raikan kejayaan) perlu dibawa ke setiap minggu untuk pastikan pasukan raih keputusan baik dan inilah sebenarnya cabaran kita,” katanya.
Ketika ini, Gergasi Merah sekadar menghuni tangga kelapan Liga Super dan hanya dipisahkan empat mata berbanding KDA FC di tangga keenam.
Untuk perlawanan ini, Nidzam pastinya menuntut komitmen penuh daripada setiap pemain kerana sedar KDA FC juga sedang berada pada tahap terbaik selepas menundukkan Melaka United 3-0.