KAPTEN skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Ahmad Aysar Hadi Mohd. Shapri enggan terlalu memikirkan mengenai kekuatan Korea Selatan yang bakal menjadi lawan paling sukar dalam Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20 2023.
Walaupun sedar tugas sukar menanti pasukan negara di perlawanan terakhir menentang Korea Selatan, Ahad ini, Ahmad Aysar mengingatkan rakan sepasukannya supaya memberikan fokus kepada dua aksi awal terlebih dulu.
Petang ini, skuad kendalian Hassan Sazali Waras bakal membuka tirai aksi di Ulaanbaatar dengan menentang tuan rumah, Mongolia di Stadium MFF dan hanya kemenangan perlu diraih bagi mencipta momentum terbaik.
“Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik, pemain juga kekal positif. Walaupun ada beberapa muka baharu, kami semua dapat adaptasi dengan baik apa yang jurulatih cuba sampaikan.
“Tumpuan kami sudah pasti menjurus kepada semua perlawanan dan bukannya terlalu menumpukan kepada Korea Selatan. Kami tidak boleh bermain sambil lewa dan perlu kekal fokus 100 peratus dalam setiap perlawanan.
“Apa yang kami cari di sana nanti adalah kemenangan untuk melayakan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-20 tahun depan,” katanya.
Selain Korea Selatan dan Mongolia, skuad negara dijadualkan bertemu Sri Lanka pada perlawanan kedua, Jumaat ini.
Berdasarkan sasaran Hassan, skuad B-19 negara wajar memanfaatkan dua perlawanan awal bertemu Mongolia dan Sri Lanka sebelum cuba mencuri satu mata daripada Korea Selatan.
“Kami difahamkan di sana kami akan bermain atas padang tiruan. Kami sudah pun berlatih di atas permukaan padang sama dan saya harap seluruh pasukan dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat,” katanya.