LONDON – Chelsea dilaporkan telah menolak tawaran jaguh Jerman, Bayern Munich untuk meminjam khidmat pemain sayap, Callum Hudson-Odoi selama semusim sebelum membelinya secara tetap dengan nilai £70 juta (RM377 juta) tahun depan.
Ini adalah kali ketiga juara Eropah itu cuba membeli Hudson-Odoi dalam empat jendela perpindahan sebelum ini selepas tawaran terakhir mereka berjumlah £35 juta (RM188.5 juta) kira-kira 20 bulan lalu tidak dilayan oleh Chelsea.
Ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick secara terbuka menyatakan keinginan mereka untuk membeli pemain berusia 20 tahun itu sebagai salah satu cara memujuk The Blues melepaskan aset masa depan kelab tersebut.
Bagaimanapun, pengurus Chelsea, Frank Lampard memberi bayangan tidak mahu melepaskan bintang muda skuad antarabangsa England itu yang dipercayai berada dalam perancangan beliau musim ini.
“Tiada jawapan yang kukuh berhubung masa depannya dan semua ini akan terjawab pada Isnin ini. Buat masa ini, Callum (Hudson-Odoi) adalah pemain Chelsea,” kata Lampard.
Lampard dikatakan tidak berani mengambil risiko melepaskan Hudson-Odoi selepas pemain itu beraksi cemerlang membantu Chelsea mencatat kemenangan 4-0 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge kelmarin.
Sebaliknya, pengendali berusia 42 tahun itu lebih berminat menjual empat pemainnya, Marcos Alonso, Emerson Palmieri, Ruben Loftus-Cheek dan Antonio Rudiger sebelum jendela perpindahan pemain ditutup awal pagi esok. – AGENSI