IPOH – Juruterbang yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus berhampiran Kampung Kenangan dekat Bidor semalam pernah menyuarakan hasrat bertemu isterinya yang menetap di Hong Kong.
Rakannya, Tammy Loo Yin Leng, 53, berkata, hasrat Tsz Kin Richard Chan, 58, itu dimaklumkan kepadanya ketika mereka bertemu beberapa bulan lalu.
“Isteri Richard menetap di Hong Kong dan mereka telah beberapa tahun tidak bertemu disebabkan pandemik Covid-19.
“Richard ada beritahu yang dia tidak sabar tunggu isterinya datang (bercuti ke Malaysia) mungkin pada Oktober atau November depan. Dia juga ada rancang mahu perkenalkan isterinya kepada saya dan suami,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yin Leng yang juga menetap di perumahan sama juruterbang itu di Ara Damansara, Selangor berkata, mereka sekeluarga telah mengenali Richard sejak tiga tahun lalu dan mereka sering meluangkan masa makan malam bersama.
Malah katanya, anak perempuannya yang kini menyambung pengajian di Toronto, Kanada juga amat rapat dengan lelaki itu.
“Kali terakhir kami berhubung melalui WhatsApp Ahad lalu pada pukul 11.11 pagi. Kami rancang untuk makan malam bersama pada pukul 7 petang.
“Dia sangat gemarkan masakan Cina, jadi kami rancang mahu makan hidangan nasi itik,” katanya.
Tambah Yin Leng, kejadian menimpa Richard memberi kesan kepada mereka sekeluarga kerana lelaki itu amat disenangi kerana perwatakannya yang baik dan merendah diri. – KOSMO! ONLINE