KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan kosmetik, Syifa Melvin membuktikan rasa cintanya apabila berjanji akan menjaga keluarga Safawi Rasid selepas pemain bola sepak itu berlepas ke Portugal malam kelmarin.
Janji itu ditulis Syifa atau nama sebenarnya, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 26, dalam satu ciapan di akaun Twitternya semalam.
“Jangan risau, saya akan menjaga keluarga awak seperti yang sudah dijanjikan.
“Semoga berjaya walau di mana awak berada. Harap awak tahu yang saya sentiasa mendoakan kejayaan awak,” tulisnya.
Ujar pemilik bersama jenama kosmetik Kekasih itu, dia berharap pemain berusia 23 tahun tersebut akan terus berusaha untuk lebih berjaya pada masa depan.
“Saya sentiasa mahu melihat awak berada pada tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang.
“Kekal fokus dan semoga Allah S.W.T melindungi awak,” kata Syifa.
Dalam pada itu, Syifa dilihat turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada malam kelmarin bagi mengiringi ayam tambatan Harimau Selatan tersebut.
Safawi akan berlepas ke Portugal untuk menyertai kelab utama Liga Premier, Portimonense SC secara pinjaman selama semusim.
Terdahulu, pada Mac lalu, Syifa pernah dikecam netizen dan dilabel sebagai kaki kikis selepas menerima beberapa hadiah mewah seperti telefon bimbit berjenama Iphone Pro Max dan beg tangan berjenama Louis Vuitton daripada Safawi.
Adik Syatilla Melvin itu pernah dikatakan menjadi punca prestasi Safawi merudum selepas mengajak pemain Johor Daru Ta’zim berkahwin tahun ini.-K! ONLINE
Artikel berkaitan : Safawi ke Portugal untuk bukti kemampuan