TELUK INTAN – Raja Gelek, Datuk M. Daud Kilau, 84, dibenarkan untuk pulang ke rumah hari ini selepas beberapa hari mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan akibat sesak nafas.
Beliau berkata, dia berasa bersyukur kerana kesihatannya semakin baik dan dibenarkan untuk pulang ke kediamannya di sini.
“Syukur Alhamdulillah, saya dapat balik ke rumah berkat doa peminat serta seluruh ahli keluarga. Hampir seminggu saya berada di wad ini, terima kasih juga kepada semua doktor dan jururawat,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Beliau dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu kira-kira pukul 12 tengah malam akibat sesak nafas yang turut menyebabkannya berada dalam keadaan separuh sedar.
Sepanjang tempoh tersebut, pelantun lagu popular Cek Mek Molek itu tidak putus-putus dikunjungi oleh peminat yang bimbang dengan tahap kesihatannya.
Penyanyi veteran berkenaan dilaporkan terpaksa bergantung dengan susu buat beberapa hari ekoran tahap kesihatannya namun beransur pulih setelah menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE