KUALA TERENGGANU – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim hampir rebah akibat pitam sewaktu mendaki Bukit Besar di sini sempena program Merdeka Parlimen Kuala Terengganu hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.17 pagi itu, Ahmad Amzad yang separuh sedar telah diberi rawatan awal oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dengan menaiki ambulans.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, Ahmad Amzad telah diberi rawatan sewajarnya sebaik tiba di Unit Kecemasan HNSZ.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati tahap kesihatan Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berada dalam keadaan stabil.
“Pasukan perubatan HSNZ menghormati permintaan beliau (Ahmad Amzad) untuk tidak ditahan di dalam wad sebaliknya pulang berehat di rumah.
“Beliau (Ahmad Amzad) juga berjanji akan
mendapatkan rawatan susulan ke mana-mana pusat perubatan sekiranya memerlukan selepas ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau sebelum ini pernah hampir rebah sewaktu menyertai program kayuhan basikal bersama rakyat di bandar raya ini pada empat tahun lalu.
Kejadian berlaku pada Ogos 2018 itu dipercayai kerana Ahmad Amzad tidak mendapat cukup rehat dan tanpa bersaraapn sebelum menyertai program berbasikal berkenaan. – KOSMO! ONLINE