PETALING JAYA – Pelakon popular Ashraf Muslim mengakui terharu dengan kejutan sambutan hari ulang tahun yang diberikan kedua-dua isterinya, Noor Dayana dan Wan Sakinah di sebuah tapak perkelahan, semalam.
Ashraf juga berterima kasih dan menghargai kejutan sambutan berkenaan selain berharap agar kedua-dua isterinya itu sentiasa dimurahkan rezeki dan bersatu hati menjalani hidup bersama-sama.
“Selamat hari ulang tahun untuk saya. Cerita semalam rancang nak pergi berkelah. Gigihlah pagi-pagi semua orang bangun nak pergi berkelah.
“Ingatkan sebab nak bawak anak-anak pergi mandi, cuti sekolah kan. Angkatlah barang-barang semua gigih naik tangga. Duk cakap dalam hati apa yang beriya sangat sampai macam-macam barang dibawanya.
“Sampai sahaja tempat makan, terkejut saya bila mama dan ibu (panggilan untuk isteri pertama dan keduanya) set up (susun) semua ini untuk saya.
“Terima kasih mama dan ibu kerana meraikan hari ulang tahun saya ke-41 ni. Dah tua dah. Saya doakan semoga Mama dan Ibu sentiasa dimurahkan rezeki, diberkati dunia dan akhirat,” katanya.
Pada hantaran sama, pelakon filem Musyrik itu turut memohon maaf atas salah silap yang pernah dilakukan dan sempat menitip pesanan berbaur pilu buat dua wanita itu.
“Maafkan ayah (panggilan namanya) salah silap selama ini. Jika ayah pergi dulu jagalah anak-anak dengan baik,” titipnya pada hantaran dalam Instagram tersebut.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat tersentuh dengan titipan serta pesanan ringkas tetapi mendalam Ashraf itu.
“Tersentuh dan rasa sebak bila baca pesanan Ashraf. Beruntung kamu dikurniakan kedua bidadari yang saling memahami dan saling menerima,” tulis mereka.
Terdahulu, Ashraf bernikah dengan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman pada 24 September 2011 di Mekah dan difahamkan masalah rumah tangga mula tercetus kerana isu belum dikurniakan zuriat sepanjang dua tahun perkahwinan.
Bagaimanapun, selepas empat tahun bernikah, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf, 7.
Manakala, bersama Wan Sakinah Ahmad Saburi yang dinikahi di Thailand pada 7 Julai 2013 pula, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 8, Adam Ashraf, 7, dan Safiyyah Ashraf, 3. – KOSMO! ONLINE