fbpx

‘Saya perlu cepat belajar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAFAWI melambai-lambai ke arah ahli keluarga, sahabat handai serta pihak media yang menunggunya sebelum berlepas ke Portugal menerusi KLIA, Sepang malam kelmarin.

PENYERANG sensasi Johor Darul Ta’zim, Safawi Rasid mene­tapkan sasaran tinggi buat dirinya selepas berpeluang beraksi pada liga utama Eropah bersama pasukan Divisyen 1 Portugal, Portimonense SC selama semusim secara pinjaman.

Safawi memberitahu, impian untuk beraksi pada liga luar negara memang diimpikan sejak bergelar pemain profesional selain berharap penghijrahannya adalah untuk jangka panjang.

“Sudah jadi cita-cita saya untuk bermain di Eropah dan peluang ini bukan selalu, mungkin sekali seumur hidup. Justeru, saya mahu lakukan yang terbaik jika diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama nanti.

“Bagaimanapun, cabaran pertama yang perlu saya tempuhi adalah menyesuaikan diri de­ngan keadaan logistik di sana kerana kita tahu bahasa, cuaca dan pemakanan sangat berbeza.

“Justeru, saya tidak boleh mengambil masa terlalu lama kerana saya hanya mengikat kontrak semusim secara pinjaman. Saya perlu belajar cepat jika mahu kekal lama di sana,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebelum berlepas ke Portugal kelmarin.

Safawi mengakui akan berusaha keras untuk membuat Malaysia dan JDT berbangga dengan kelibatnya sepanjang beraksi dengan Portimonense SC yang dikendalikan oleh Paulo Sergio.

“Saya mahu ucapkan jutaan terima kasih kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana membuka peluang kepada saya bersama JDT selama hampir empat tahun dengan mengecapi pelbagai kejayaan.

“Ini fasa seterusnya dalam karier saya. Saya akan bekerja keras untuk membuatkan rakyat Malaysia bangga selain memastikan aksi saya mencapai tahap lebih baik,” katanya.

Safawi yang kini berusia 23 tahun telah mewakili JDT sejak tahun 2017 dan sangat cemerlang dalam membantu Harimau Selatan menjuarai empat trofi Liga Super, dua Piala Malaysia dan tiga Piala Sumbangsih.

Difahamkan, Safawi masih mempunyai kontrak bersama JDT sehingga 2023 tetapi Portimonense SC mempunyai peluang untuk menandatanganinya secara tetap jika dia berjaya menampilkan aksi yang diharapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI