IPOH – Dua kelulusan terakhir bagi projek rintis perlombongan nadir bumi lantanid di Hulu Perak yang akan dilaksanakan bulan ini telah diperoleh pihak terlibat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dua kelulusan tersebut adalah Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP).
Menurut Saarani, langkah seterusnya adalah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan menyediakan kertas mesyuarat bagi dibincang dan diputuskan melalui mesyuarat exco dalam masa terdekat.
Katanya, ia bertujuan untuk membolehkan kerajaan negeri membuat kelulusan terhadap kadar-kadar royalti serta ketetapan-ketetapan lain yang difikirkan perlu.
“Jadi maksudnya kalau dahulu kita kata kita tunggu daripada Majlis Daerah Gerik kebenaran merancang (KM) dan dia sudah beri keluluasan bersyarat dengan dua syarat terakhir telah dipatuhi tapi kita masih perlu bawa ke mesyuarat exco.
“Jadi kalau ikut PTV dalam masa terdekat ini paper (kertas) exco akan kita luluskan untuk membolehkan syarikat berkenaan memulakan operasi dia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia di Ipoh di sini hari ini.
Tambahnya, sekiranya mengikut jadual, projek berkenaan sepatutnya dimulakan pada bulan ini selepas memperoleh dua kelulusan berkenaan. – KOSMO! ONLINE