fbpx

Nelayan hanya tinggal kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Aisyah mengelap mulut suaminya yang sakit akibat kanser lidah ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Oleh TOREK SULONG

KOTA BHARU – Seorang wanita merayu kepada orang ramai menyalurkan bantuan bagi me­nguruskan suaminya yang kini terlantar dan hanya tinggal kulit kerana pe­nyakit kanser lidah sejak empat tahun lalu.

Siti Aisyah Ismail, 43, yang tinggal di Kampung Kedai Buluh di sini berkata, keadaan suami­nya semakin kritikal ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu hingga tidak lagi mampu berjalan dan bercakap akibat penyakit ber­kenaan.

Katanya, dia kini buntu untuk mencari sumber kewangan yang mencukupi untuk membeli susu formula khas untuk diberikan kepada suaminya, Robi Mat Nor, 47.

“Pendapatan saya sebagai peniaga mi celup hanya cukup untuk perbelanjaan harian dan wang saku sekolah tiga anak kami berusia empat hingga 11 tahun.

“Saya perlukan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan bagi membeli susu berkhasiat sebagai makanan utama, lampin pakai buang dan lain-lain untuk suami,” ceritanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, Robi sebelum ini bekerja sebagai nelayan, namun tidak sekuat dahulu selepas disahkan menghidap kan­ser lidah sejak empat tahun lalu.

Menurut Siti Aisyah, sebelum ini suaminya tetap kuatkan semangat untuk mencari rezeki dengan menumpang bot nelayan lain menangkap ikan walaupun sakit.

“Namun, keadaan suami saya bertambah kritikal sejak PKP apabila dia hanya mampu terlantar di katil selain sukar untuk makan sehingga akhirnya tidak boleh bertutur. Dia juga semakin kurus dan kini hanya tinggal kulit,” katanya.

Ujar Siti Aisyah, suaminya hanya bergantung kepada susu khas yang diberi melalui tiub.

“Saya sedih melihat keadaan suami. Dia sering menggerakkan tangan dan mengeluarkan air mata sehingga menyentuh perasaan kami anak-beranak,” katanya.

Terdahulu, Robi menerima kunjungan dua wakil badan bukan kerajaan iaitu Cempaka Merah Asnaf Society dan I-Kasih yang tampil menghulurkan sumbangan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Aisyah di talian 017-984 9179 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank miliknya 153011064887.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI