fbpx

Hak Najib mendapatkan rawatan tidak dinafikan – KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy (kiri) dan Najib (kanan).

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) seperti mana prosedur operasi standard (SOP) bagi banduan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya tidak menafikan rawatan perubatan kepada semua banduan di mana-mana penjara dan pusat tahanan termasuk bekas Perdana Menteri itu.

“Tuduhan mengatakan ubat tekanan darah untuk Najib ditukar adalah isu yang tidak menggambarkan perkara sebenar kerana ia adalah ubat jenis generik iaitu ubat yang sama cuma jenama yang berbeza.

“Sebelum ini, Najib mendapatkan ubat beliau dari hospital swasta tetapi apabila menjadi banduan, seseorang banduan akan dirujuk ke hospital kerajaan dan ubat yang diberi formula yang sama seperti panadol dan paracetamol,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Record & Pelancaran Laporan Record Breaking Covid-19 Vaccination: Public-Private Partnership.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy Jamaluddin berkata, Najib dihantar semula ke Penjara Kajang Sabtu lalu, selepas semua pakar di HKL mendapati keadaan bekas Perdana Menteri itu dalam keadaan memuaskan.

“Hari ini, Najib dihantar semula ke HKL bagi menjalani pemeriksaan bagi melengkapkan laporan kesihatannya manakala Ketua Perkhidmatan Gastroenterology KKM, Dr Rosaida Md. Said adalah pakar yang merawat beliau.

“Saya juga sudah maklumkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Asmayani Khalib supaya melakukan pemeriksaan ke atas Najib supaya tiada lagi pertikaian,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak dua kali pertemuan bersama keluarga Najib sudah dilakukan bagi menjelaskan perkara ini.

“Apabila isu ini timbul, saya sendiri menghubungi Pengarah HKL, Datin Paduka Dr. Rohana Johan dan beliau memaklumkan keadaan Najib stabil,” katanya.

Terdahulu, media semalam melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan ubat yang diberikan kepada Najib adalah jenis sama dan dalam senarai ubatan kementerian.

Kenyataan itu susulan, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan, tekanan darah Najib dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI