IPOH – Polis Perak melaksanakan kawalan rapi di lokasi nahas helikopter ditemukan terhempas di Hutan Simpan Chikus berhampiran Kampung Kenangan, Bidor semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kawalan tersebut dilakukan sehingga siasatan selesai dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara dan Bahagian Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Siasatan di lokasi kejadian bermula hari ini. Selepas siasatan selesai, helikopter itu akan diserahkan kepada pemilik untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusri, bedah siasat ke atas mayat mangsa dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada pukul 9 pagi hari ini.
Katanya, pihak polis dimaklumkan isteri mangsa masih berada di luar negara dan dijangka tiba ke Malaysia dalam masa terdekat.
“Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan sukarelawan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat yang berjaya membantu mengesan pesawat dan mangsa,” ujarnya.
Terdahulu, operasi mengesan helikopter Eurocopter EC120B milik syarikat swasta itu dijalankan selepas gagal dihubungi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada pukul 12.16 tengah hari kelmarin.
Mayat juruterbang, Tsz Kin Richard Chan, 58, itu bagaimanapun berjaya ditemukan pasukan operasi SAR di bahagian kokpit helikopter di dalam hutan simpan tersebut. – KOSMO! ONLINE