IPOH – UMNO Perak mengesahkan tidak ada ahlinya menyertai DAP Cawangan Parit yang baharu ditubuhkan parti berkenaan di parlimen tersebut.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya percaya cawangan DAP tersebut ditubuh dan disertai orang Melayu yang tidak pernah terlibat dengan mana-mana parti sebelum ini.
“Saya percaya yang dikatakan menubuhkan DAP itu bukan datang daripada UMNO, bermakna orang Melayu yang belum berparti.
“Mereka barangkali memilih parti yang bukan UMNO dan orang Melayu itu dia memilih untuk menubuh parti DAP,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia di Ipoh di sini hari ini.
Ditanya sama ada penubuhan DAP Cawangan Parit bakal memberi saingan kepada UMNO Bahagian Parit atau tidak, Saarani berkata beliau melihat ia sebagai sebuah persaingan yang sihat.
Katanya, negara kita mengamalkan sistem demokrasi dan sesiapa sahaja berhak menubuhkan parti di mana-mana lokasi termasuk Sabah dan Sarawak.
Tambahnya lagi, kewujudan DAP cawangan Parit yang disertai orang Melayu itu juga bakal mendorong ahli UMNO bahagian tersebut untuk bekerja lebih kuat.
“Dia parti-parti ini lagi bersaing lagi bagus, kalau tidak orang Parit akan tidur kalau tidak ada persaingan dan bila ada saingan orang UMNO Parit akan bekerja lebih kuat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE