GEORGE TOWN – Literasi digital mampu meningkatkan kesedaran pentingnya Keluarga Malaysia terhadap penggunaan teknologi dan inovasi seiring perkembangan negara maju lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemampuan memanfaatkan teknologi baharu dalam memastikan pemulihan negara ketika pandemik sememangnya jelas berhasil.
Menurutnya, penggunaan aplikasi digital dengan pelbagai fungsi maklumat teknologi telah berjaya membendung pandemik Covid-19 di Malaysia selain membantu menyelamatkan perniagaan, pekerjaan serta memastikan kelangsungan proses pembelajaran.
“Justeru, langkah serta pendekatan yang berlandaskan sains dan teknologi ini telah memainkan peranan yang amat penting dalam kejayaan kita.
“Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai hab pelaburan digital di ASEAN. Sejak inisiatif MSC Malaysia diperkenalkan pada tahun 1996, kerajaan telah berjaya menarik pelaburan digital bernilai RM384 bilion.
“Ia sekali gus melahirkan lebih 180,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dengan menjana pendapatan berjumlah RM588 bilion,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Majlis Perasmian Kongres Teknologi & Inovasi Sedunia (WCIT) 2022 di Pusat Konvensyen SPICE, Bayan Baru di sini hari ini.
Kongres yang dihadiri lebih 4,000 peserta dari lebih 80 buah negara itu dirasmikan Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Annuar Musa serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Beritahu beliau, perkembangan Pelaburan Digital Langsung Domestik setakat 24 Ogos 2022 pula telah merekodkan sebanyak RM4.76 bilion.
“Menerusi usaha ini, sebanyak 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi sudah diwujudkan dan peluang ini akan terus meningkat pada masa akan datang.
“Semua pencapaian positif ini telah meletakkan Malaysia di kedudukan terbaik bagi mencapai sasaran pelaburan digital sebanyak RM70 bilion menjelang tahun 2025, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, jelasnya lagi, inisiatif Malaysia Digital (MD) yang dilancarkan pada Julai lalu berjaya meraih nilai Pelaburan Digital Langsung Asing sebanyak RM42 bilion hanya dalam tempoh 2 bulan. – KOSMO! ONLINE