fbpx

Himpunan mega camper van cetus fenomena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELBAGAI jenis camper van atau motor home boleh disaksikan pada Camper Rally Malaysia di Taman Wetland Putrajaya baru-baru ini.

SELEPAS mendapat tahu penganjuran program Camper Rally Malaysia yang diadakan di Taman Wetland Putrajaya, pada 2 hingga 4 September lalu, Mohd. Hanafi Kamit, 32, begitu teruja untuk menghadirinya.

Sebaik tiba hari yang dinantikan, dia bersama isteri dan dua anaknya yang berusia dua dan lima tahun tidak melepaskan peluang ke lokasi program itu memandangkan ia hanya terletak kira-kira 25 kilometer dari rumahnya di Seri Kembangan, Selangor.

Biarpun dirinya belum memiliki kenderaan rekreasi (RV) jenis motor van, camper van atau motor home, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat pelbagai kenderaan itu dari dekat.

“Saya memang minat RV jenis motor van atau motor home ini kerana saya juga menggemari aktiviti percutian santai sebegini, cuma belum berpeluang untuk memilikinya.

“Sebab itulah bila ada program melibatkan motor van di sekitar Lembah Klang, saya akan cuba luangkan masa untuk hadir bagi melihat dengan dekat jenis-jenis kenderaan yang ada.

“Saya juga berpeluang bertemu dengan pemilik kenderaan terbabit untuk mendapatkan pelbagai maklumat terutama dari segi harga, kos penyelenggaraan dan lain-lain,” katanya kepada K2.

Mohd. Hanafi yang bekerja sebagai jurutera perkapalan berkata, dia yang kini aktif dalam aktiviti luar termasuk perkhemahan keluarga bercadang untuk memiliki sebuah motor van sendiri suatu hari nanti bagi membolehkan dia bercuti secara santai bersama keluarga tanpa perlu menyewa hotel lagi.

Program Camper Rally Malaysia Putrajaya yang diadakan itu merupakan aktiviti yang dianjurkan Persatuan Camper Van dan Motor Home Malaysia (PCMM).

AKTIVITI bermain permainan tradisional turut diadakan.

Ia merupakan program perhimpunan terbesar yang pernah dianjurkan di negara ini melibatkan 122 buah camper van dan motor home.

Lebih menarik apabila program tersebut turut berjaya dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai program terbesar yang menghimpunkan kenderaan RV dari seluruh negara.

Bagi seorang peserta, Ahmad Azwan Zahari, 35, dari Seksyen 16 Shah Alam, Selangor, dia sudah mendaftar untuk menyertai program tersebut sejak awal tahun lalu memandangkan tempat yang ditawarkan adalah terhad.

“Saya aktif dalam program sebegini sejak setahun lalu selepas mula memiliki kenderaan RV sendiri pada tahun lalu.

“Sejak mendaftar sebagai ahli PCMM, boleh dikatakan saya tidak akan lepaskan peluang untuk menyertai setiap aktiviti yang diadakan oleh persatuan setiap bulan.

“Selain dapat meluangkan masa bercuti secara santai bersama keluarga, saya juga dapat bertemu dengan ramai pemilik RV yang lain untuk bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan pelbagai maklumat berkisar motor van,” katanya.

Menurut Ahmad Azwan lagi, walaupun baru setahun berjinak-jinak dengan aktiviti itu, namun kini dia sudah memiliki kira-kira 13 buah motor van yang terdiri daripada pelbagai jenis dan model.

Kata Ahmad Azwan, sebahagiannya digunakan untuk kegunaan sendiri dan sebahagian lagi disewa kepada peminat aktiviti tersebut yang tidak memiliki kenderaan sendiri.

Dalam pada itu, Presiden PCMM, Farman Othman berkata, program Camper Rally Malaysia Putrajaya itu diadakan sebagai kemuncak kepada penganjuran aktiviti serupa yang dianjurkan pihaknya setiap bulan.

“Selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan hujung tahun lalu, kami di PCMM mula mengatur pelbagai aktiviti untuk mengumpulkan ahli persatuan dan pemilik RV di negara ini dalam satu program.

“Bermula program Camper Rally yang diadakan di Langkawi, Kedah pada Disember tahun lalu, sehingga kini kami telah laksanakan 10 program Camper Rally di seluruh negara.


PARA peserta menjamu selera bersama-sama.

“Yang menariknya, program yang berlangsung di Taman Wetland Putrajaya ini merupakan yang terbesar pernah dianjurkan melibatkan 122 kenderaan dengan kira-kira 500 ahli keluarga, selain turut dicatatkan dalam MBOR,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran program tersebut, Farman memberitahu, Camper Rally yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu merupakan salah satu cara yang dilakukan oleh persatuan itu untuk menggalakkan orang ramai meminati aktiviti tersebut.

Ini kerana jelasnya, menerusi camper van atau motor home, sesebuah keluarga itu dapat melakukan aktiviti melancong ke mana saja yang diingini secara santai dengan cara tersendiri, selain dapat menjimatkan perbelanjaan kerana tidak perlu memikirkan soal penyewaan hotel dan sebagainya.

Malah katanya, pemilik RV juga boleh berkenalan dengan lebih ramai rakan dari seluruh negara yang turut memiliki hobi sama, selain dapat mengisi percutian mereka dengan lebih seronok menerusi pelbagai aktiviti yang dilakukan bersama.

“Sebagai contoh, pada program Camper Rally kali ini, kami menyediakan pelbagai aktiviti yang boleh disertai peserta seperti kayuhan basikal, permainan tradisional, persembahan, sukaneka dan aktiviti lawatan di kawasan sekitar.

PELBAGAI aktiviti diadakan bagi memeriahkan program termasuk berbasikal.

“Malah, kami turut mengadakan aktiviti berbentuk keagamaan seperti solat berjemaah pada setiap waktu, selain ceramah agama yang disampaikan oleh panel jemputan sebagai pengisian kerohanian,” katanya.

Menurut Farman, program itu yang turut mendapat sokongan daripada syarikat peralatan sukan, Decathlon itu dianggap berjaya kerana bukan sahaja berjalan lancar dan mendapat maklum balas positif daripada para peserta, tetapi turut menarik lebih 3,000 orang awam yang hadir untuk melihat dari dekat kenderaan RV dan aktiviti yang diadakan.

Kongsi Farman lagi, pihaknya mendapat permintaan yang tinggi daripada pemilik camper van dan motor home dari seluruh negara untuk menyertai program tersebut.

Namun jelasnya, pihaknya terpaksa mengehadkan bilangan penyertaan kenderaan RV disebabkan faktor ruang parkir di Taman Wetland yang agak terhad walaupun persatuan itu kini memiliki lebih 500 ahli berdaftar setakat ini.

Pun begitu katanya, pihaknya turut merancang untuk menganjurkan program Camper Rally berskala lebih mega pada masa akan datang bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemilik RV di negara ini menyertai dan merasai kemeriahan program tersebut.

“Kami mengganggarkan terdapat kira-kira 2,000 buah kenderaan RV di negara ini melibatkan pelbagai jenis, saiz dan bentuk sama ada kenderaan RV yang diimport sepenuhnya atau yang dibina sendiri dan diubah suai.

“Cuma, masih ramai yang belum mendaftar untuk menjadi ahli PCMM kerana mungkin ada antara mereka yang lebih selesa bergerak secara solo atau kumpulan kecil sahaja.


PERHIMPUNAN di Putrajaya itu merupakan yang terbesar setakat ini dengan melibatkan 122 buah kenderaan rekreasi dan kira-kira 500 ahli keluarga.

“Tapi saya percaya ramai juga antara mereka yang masih tidak tahu akan kewujudan PCMM sebagai persatuan yang mengumpulkan pemilik RV.

“Sebab itulah kami di PCMM sentiasa berusaha melakukan promosi dan hebahan mengenai kewujudan persatuan ini sama ada melalui media sosial atau pelaksanaan aktiviti di pelbagai lokasi sebagai kaedah promosi secara langsung,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya berharap semakin ramai penggemar aktiviti percutian santai akan memilih konsep caravan, camper van atau motor home sebagai konsep percutian baharu kerana ia menjanjikan pengalaman dan keseronokan berbeza daripada kebiasaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI