Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
DUNGUN – Nenek pelawak terkenal tanahair, Zizan Razak meninggal dunia kerana hipoglesimea iaitu kekurangan gula dalam badan di Hospital Dungun di sini hari ini.
Allahyarham Zainoon Abdullah, 81, yang menderita penyakit radang hati sejak tiga bulan lalu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.57 pagi.
Zizan atau nama sebenarnya Muhammad Razizan Abdul Razak, 36, berkata, dia menerima panggilan daripada bapa saudaranya memaklumkan berita sedih pemergian neneknya pada pukul 12 tengah hari tadi.
“Saya bergegas pulang ke kampung di Kampung Gong Pasir, Dungun dan terpaksa meninggalkan program akhir The Masked Singer yang dijadualkan berlangsung malam ini.
“Sebenarnya saya dan keluarga baru sahaja tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6 pagi tadi selepas melawat nenek di hospital,” katanya sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir di sini hari ini.
Zizan berkata, dia masih terkenang detik terakhir bersama neneknya di hospital sebelum berangkat pulang pada pukul 2 pagi tadi.
Ceritanya, dia dan keluarga hanya boleh menjenguk neneknya yang terlantar di luar pintu bilik wad demi mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan pengurusan hospital.
“Sebelum balik, saya laung (panggil) nama nenek dan memberitahu hendak pulang, dia menggagahkan diri cuba membuka mata,” katanya.
Bercerita lanjut, Zizan memberitahu, kesihatan neneknya merosot setelah disahkan menghidap radang hati pada tiga bulan lalu.
“Kami sekeluarga setuju nenek tidak menjalani rawatan kimoterapi kerana usianya yang sudah lanjut.
“Sebaliknya kami berikhtiar mengubati sakit nenek dengan secara rawatan homeopati. Keadaan beransur sembuh namun tahap kesihatan kembali merosot kira-kira tiga minggu lalu menyebabkan dia hilang selera makan dan badan susut,” katanya.
Zizan berkata, Allahyarham Zainoon selamat dikebumikan di sebelah pusara suaminya, Ibrahim Ismail di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir di sini pada pukul 5.30 petang tadi. – K! ONLINE