fbpx

Lima tahun jaga anak koma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sapidah membetulkan saluran makanan dipasang atas badan Mohd. Zaki yang koma ketika ditemui di Taman Orkid, Kluang baru-baru ini.

KLUANG – Menguruskan anak yang tidak boleh bergerak serta kaku bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan apatah lagi ia perlu dihadapi sejak lima tahun lalu.

Sapidah Sahed, 48, berkata, anaknya, Mohd. Zaki Hanafi, 21, berada dalam keadaan itu selepas terlibat dalam kemalangan motosikal ketika berusia 16 tahun ekoran kecederaan yang dialaminya.

Katanya, sejak daripada kejadian itu, anak sulung daripada dua beradik itu hanya menjadikan katil sebagai dunianya akibat daripada tidak boleh bergerak apatah lagi untuk menguruskan diri sendiri.

“Untuk kehidupan kami tiga beranak, saya hanya menjual pelbagai jenis kuih lapis serta bingka selain makanan sarapan pagi mengikut tempahan orang ramai.

“Hasil jualan sekitar RM400 sebulan itu lah kami gunakan untuk makan minum anak beranak kerana bantuan RM1,000 daripada Majlis Agama Islam Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat habis digunakan membeli susu khas serta lampin pakai buang untuk along,” katanya.

Sapidah ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Kelab D’Kluang, Md. Norhalim Md. Amin yang hadir yang me­nyampaikan sumbangan barang-barang keperluan dapur di kediamannya di Jalan Orkid 5, Taman Orkid dekat sini semalam.

Menurut Sapidah, dia tidak boleh bergerak jauh dan me­ninggalkan rumah kerana anak kedua, Mohd. Zaim, 18, yang baru menamatkan persekolahan turut bekerja sebagai pembantu kedai untuk menampung hidup mereka.

“Saya hanya tinggal di rumah dan jika ada tempahan barulah saya membuat kuih. Jika tidak maka tiadalah pendapatan pada hari itu.

“Namun semua ini tidak akan melemahkan saya untuk memastikan along dalam keadaan sihat walaupun sedar bahawa peluangnya untuk pulih semula tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Ujar Sapidah lagi, untuk membeli susu khas dia terpaksa membelanjakan sekitar RM960 sebulan, manakala lampin pakai buang sekitar RM210.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin membantu Sapidah boleh berhubung terus di talian 011-5172 8056 atau menyalurkan sumbangan di nombor akaun 151061131296 (Maybank).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI