NEW DELHI – Seorang wanita di negeri Uttar Predesh, India, sanggup ‘menggadaikan’ nyawa sebanyak dua kali apabila berpatah balik untuk mengambil botol minuman selepas melintas landasan kereta api ketika tren meluncur laju ke arahnya, lapor akhbar Ths Sun semalam.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di stesen kereta api Shikohabad, Jumaat lalu, lapor laman berita NDTV.
Berdasarkan video yang dikongsikan, wanita berpakaian berwarna kuning itu melintas landasan kereta api antara dua platform di stesen tersebut sedangkan jejantas disediakan hanya beberapa meter dari lokasinya.
Selepas menyedari kereta api sedang meluncur laju ke arahnya, wanita berkenaan bergegas cuba memanjat bahagian tepi platform sebelum dia ditarik oleh seorang pekerja stesen bernama Ram Swaroop Meena.
Bagaimanapun, wanita tersebut kemudian berpatah balik ke bahagian tepi platform untuk mengambil botol minumannya yang terjatuh, hanya beberapa saat sebelum sebuah lagi kereta api meluncur laju di hadapannya.
Ketika tren melintas di hadapannya, wanita tersebut dilihat berjalan secara santai, seolah-olah tiada apa-apa perkara yang berlaku.
Menurut laporan, anggota polis memanggil wanita berkenaan dan dua kakitangan stesen untuk menyoal siasat mengenai kejadian tersebut, namun dia terus berjalan dan berlalu dari situ. – Agensi