LONDON – Bekas pengendali Chelsea, Thomas Tuchel mengakui sangat kecewa ekoran pemecatannya dan terpaksa meninggalkan Stamford Bridge hanya selepas tujuh perlawanan musim ini.
Tuchel menjadi mangsa ekoran prestasi tidak menentu pasukan itu pada awal musim termasuk kekalahan kepada Dinamo Zagreb pada aksi Liga Juara-Juara memaksa pemilik baharu, Todd Boehly membuat keputusan menyingkirkannya.
“Ini adalah kenyataan media yang paling sukar untuk saya tulis dan saya harap saya tidak akan melakukannya lagi selepas ini. Saya sangat kecewa apabila mengetahui masa saya bersama Chelsea sudah berakhir.
“Kelab ini membuatkan saya rasa selesa secara peribadi dan profesional. Terima kasih kepada semua kakitangan, pemain dan para penyokong yang membuatkan saya rasa diterima bermula dari awal tiba di sini.
“Kebanggaan dan kegembiraan ketika berjaya membantu kelab ini memenangi Liga Juara-Juara dan Piala Kelab Dunia akan terus sentiasa kekal dalam memori saya.
“Saya sangat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini dan kenangan selama 19 bulan di sini akan sentiasa menjadi suatu yang istimewa bagi saya,” katanya.
Pihak pengurusan Chelsea membuat keputusan memecat Tuchel menyebabkan mereka terpaksa membayar pampasan berjumlah £13 juta (RM67.96 juta) ekoran kontraknya yang masih berbaki.
Selain itu, mereka juga sanggup mengeluarkan dana sebanyak £16 juta (RM83.64) bagi menebus kontrak Graham Potter bersama Brighton bagi membawanya ke London sebagai pengurus baharu The Blues. – AGENSI