fbpx

AIM23 masih relevan, Yonnyboii dinobat terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGANJURAN Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) malam Ahad lalu menyaksikan Yonnyboii (kanan) mengungguli dengan memenangi kategori Album Terbaik. Sementara Liza Hanim dan Shila Amzah pula untuk kategori duo terbaik.

SELAMA lima tahun penganjuran anugerah berprestij yang mengiktiraf bakat seni muzik pengkarya tempatan, Anugerah Industri Muzik (AIM) sunyi tanpa sebarang acara.

Jika sebelumnya, anugerah yang mendapat jolokan ‘Grammy Malaysia’ tersebut akan diadakan setiap tahun dan dinanti-nantikan oleh pemain industri terutama bagi mereka yang mencurahkan karya dalam bidang muzik.

Selepas lima tahun ‘bersarang’, akhirnya para pengkarya yang selama ini tertunggu-tunggu penganjuran semula AIM kembali meraikan hasil kerja keras penggiat seni untuk diiktiraf menjadi yang terbaik.

AIM edisi ke-23 (AIM23) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor pada Ahad lalu masih lagi ‘berbisa’ selepas sekian lama menyimpan ‘taring’ sekali gus menunjukkan penganjurannya yang buat pertama kali diperkenalkan pada 1993 masih relevan dan dinanti-nantikan ramai.

ANUGERAH Sri Wirama diberikan kepada Tan Su Loke atas jasa dan baktinya dalam melahirkan ramai penyanyi terbaik di Malaysia bawah naungan syarikat rakaman Suria Records (SRC). – AFIQ RAZALI & AZRUL RAFIE (Astro)

Pertama kali

Penyanyi Aina Abdul misalnya yang buat pertama kalinya berdiri di pentas gah tersebut begitu teruja selepas sekian lama mengidam untuk berada di situ.

“Saya sangat teruja dan seronok menjejakkan kaki ke AIM buat julung kalinya selepas menjadi penyanyi,” kata Aina.

Meskipun pulang dengan tangan kosong, Aina yang bertanding dalam dua kategori iaitu persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Persembahan Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu bersama Lah Ahmad tetap menjadikan AIM23 sebagai suatu kenangan indah buatnya.

Kenangan manis juga terpahat dalam lembaran hidup penyanyi Vanessa Reynauld selepas dinobatkan Artis Baharu Terbaik AIM23.

Dalam linangan air mata, Vanessa ternyata sebak ketika namanya diumumkan sebagai pendatang baharu terbaik kerana tidak menyangka mampu menggenggam trofi anugerah berkenaan.

“Syukur pada Tuhan kerana memberi peluang kepada saya untuk diiktiraf sebagai penyanyi terbaik. Saya sendiri tidak sangka dapat melalui pengalaman yang cukup indah ini,” katanya.

Ukir senyuman

Penganjuran AIM23 turut meninggalkan bekas buat beberapa penyanyi senior seperti Liza Hanim, Ernie Zakri dan kumpulan VE selepas bertahun-tahun bertapak dalam industri, akhirnya rezeki berpihak kepada mereka apabila membawa pulang trofi.

Liza Hanim kini mampu mengukir senyuman selepas 25 tahun bergelar penyanyi apabila buat pertama kalinya dapat menggenggam trofi ‘mikrofon perak’ yang selama ini diidam-idamkan.

ERNIE ZAKRI tidak pulang dengan tangan kosong apabila buat julung kalinya memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati.

Kata penyanyi lagu Siapa Sangka Siapa Menduga itu, penantiannya selama lebih dua dekad berbaloi selepas meraih kemenangan menerusi kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Bahagiakan Dia, duet bersama Shila Amzah.

“Saya tidak sangka selepas 25 tahun, akhirnya merasa juga membawa pulang anugerah trofi AIM. Sebagai penyanyi, tipu kalau selama ini saya tidak mengharapkan apa-apa kemenangan dalam acara ini.

“Namun saya percaya pada rezeki. Alhamdulillah kali ini kemenangan berpihak pada saya,” ujarnya yang turut membawa satu lagi kemenangan menerusi Runut Lagu Terbaik untuk lagu sama.

Yonnyboii terbaik

Paling mencuri tumpuan, malam penuh gemilang tersebut menyaksikan penyanyi rap muda berbakat besar, Yonnyboii menggondol anugerah utama iaitu Album Terbaik sekali gus melakar kejayaan peribadi.

Agak mengejutkan, namun tiada apa yang mustahil jika karya yang dihasilkan itu berkualiti dan bagus sehingga layak diangkat sebagai terbaik.

Menurut Yonnyboii, kerja keras dan usahanya dalam memartabatkan muzik rap bukanlah perkara ‘main-main’. Bahkan, penyanyi muda berusia 24 tahun itu menganggap muzik rap juga mempunyai nilai tersendiri untuk diketengahkan.

PENYANYI Yonnyboii tidak menyangka dapat membawa pulang trofi Album Terbaik menerusi buah tangannya, Yonny (Deluxe Version) pada malam AIM23.

“Saya bersyukur album Yonny (Deluxe Version) dinilai oleh juri sebagai sebuah karya yang hebat untuk mengungguli kategori Album Terbaik AIM23.

“Berkat kerja keras saya selama ini berbaloi dengan pengiktirafan ini,” katanya.

Selain trofi, Yonnyboii turut membawa pulang insentif Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM200,000 yang disalurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM).

“Bidang muzik adalah tugasan yang diamanahkan untuk saya. Meskipun perlu serius, muzik juga tempat untuk bergembira,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Juri AIM23, Datuk Mokhzani Ismail berkata, kriteria yang melayakkan Yonny (Deluxe Version) mengenepikan 39 album lain bagi menduduki takhta Album Terbaik adalah keunggulan ciptaan serta kualiti keseluruhan penerbitan termasuk memenuhi cita rasa semasa.

“Bagi kelayakan penyertaan membabitkan tempoh setahun setengah itu, jawatankuasa menapis 40 album secara keseluruhan hingga akhirnya memilih lima terbaik.

“Apabila 13 juri duduk bersidang sekali lagi dan memperhalusi setiap isi kandungan dalam kelima-lima calon akhir itu, memang album Yonnyboii paling menyerlah dan memenuhi kriteria.

“Biarpun tidak memenangi kategori susunan muzik, rakaman album dan sebagainya, dari segi ketelitian, konsep serta penghasilan keseluruhan melayakkan Yonny (Deluxe Version) menang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI